






Oleh: Sholina Osman
15 OKT 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah mengingatkan para Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (NCR) supaya menjauhi sebarang bentuk salah guna kuasa serta berperanan sebagai penasihat komuniti yang dihormati dan diyakini masyarakat.
Baginda menegaskan bahawa para Penolong Pendaftar NCR perlu sentiasa memperkukuh nilai integriti, profesionalisme dan kecekapan, khususnya dalam penguasaan teknologi semasa bagi memastikan urusan pentadbiran perkahwinan Islam dilaksanakan dengan lebih efisien dan berhemah.
Menurut Tuanku Raja Muda lagi, tugas yang digalas oleh para Penolong Pendaftar bukan sekadar melafazkan akad nikah semata-mata, bahkan merupakan amanah besar yang menyentuh aspek pemeliharaan institusi kekeluargaan Islam, penjagaan keturunan (nasab), serta memastikan kestabilan sosial dalam masyarakat.
AMANAH YANG DIJUNJUNG
“Dengan komitmen yang tinggi serta amanah yang dijunjung, peranan Penolong Pendaftar NCR akan terus menyinar bukan sahaja di Negeri Perlis, malah menjadi contoh teladan kepada tempat-tempat lain dalam memperkukuh institusi kekeluargaan Islam”, titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Majlis Muzakarah Penolong Pendaftar Perkahwinan Orang Islam Negeri Perlis Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Warisan, Kangar.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Maizura Shamsuddin, Mufti Negeri Perlis, Datuk Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.
Dalam majlis yang dianjurkan oleh JAIPs dengan kerjasama MAIPs dan Jabatan Mufti Negeri Perlis berkenaan, Tuanku Raja Muda turut berkenan menyempurnakan pengurniaan sijil pelantikan Penolong Pendaftar Perkahwinan kepada 36 individu yang dilantik mewakili seluruh kariah di Negeri Perlis.
Majlis itu turut diserikan dengan sesi perkongsian ilmu bertajuk “Tatakelola Pengurusan Pendaftaran Nikah Dalam dan Luar Negara” oleh Pengarah JAIPs, Maizura Shamsuddin, “Integriti Dalam Pengurusan Perkahwinan” oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis dan “Etika Akad Nikah” oleh Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk JAIPs, Ahmad Sirajuddin Abdul Satar. – JM
