Fahmi tinjau pelaksanaan sistem BUDI95 di Stesen Minyak Petronas Lintas Kepayan

Oleh: Sholina Osman
16 OKT. 2025

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, hari ini meninjau pelaksanaan sistem BUDI MADANI RON95 (BUDI95) di Stesen Minyak Petronas Lintas Kepayan.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusop.

Kenyataan media Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) memaklumkan tinjauan ini bagi menilai kestabilan sambungan Internet yang menjadi tunjang kepada sistem BUDI95.

Di samping itu untuk mengumpul maklum balas secara langsung daripada pengusaha stesen minyak dan pengguna mengenai pengalaman mereka menggunakan sistem tersebut.

PENGGUNA YANG LAYAK

Kerajaan menetapkan harga RON95 pada RM1.99 seliter bagi pengguna yang layak, dengan had pembelian sebanyak 300 liter sebulan.

Bagi pengguna yang melebihi had
atau tidak layak, harga pasaran semasa sekitar RM2.60 seliter akan dikenakan.

Bermula 15 Oktober 2025, kerajaan turut memperluas pelaksanaan subsidi bersasar BUDI95 kepada pemandu e-hailing sepenuh masa, yang membolehkan mereka
menikmati had tambahan pembelian petrol RON95 bersubsidi.

PRESTASI YANG STABIL

Sejak pelaksanaannya, sistem BUDI95 menunjukkan prestasi yang stabil dengan keupayaan memproses puluhan ribu transaksi setiap minit, sekali gus membuktikan
keberkesanannya sebagai asas kukuh kepada pelaksanaan subsidi yang lebih tepat, cekap dan adil.

Kelancaran sistem ini turut disokong oleh sambungan Internet yang
stabil dan pantas, yang memainkan peranan penting dalam memastikan semakan kelayakan serta pengesahan transaksi dapat dilakukan dengan efisien.

Kementerian Komunikasi, melalui Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), akan terus memantau pelaksanaan sistem ini bagi memastikan penyampaian maklumat yang jelas dan inklusif, serta menggerakkan penambahbaikan berterusan berdasarkan maklum balas rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *