FAMA sasar 3,500 Karnival Jualan Agro Madani di seluruh negara sehingga akhir tahun

Oleh: Sholina Osman
17 OKT. 2025

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan 3,500 Karnival Jualan Agro Madani di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) FAMA Shahrizan Sudiman berkata sasarannya di Perlis pula sebanyak 150 Karnival Jualan Agro Madani sehingga hujung tahun ini.

“Sehingga kini sebanyak 65 Karnival Jualan Agro Madani diadakan dan dijangka yang berbaki itu akan mencapai sasaran pada akhir tahun nanti,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Karnival Jualan Agro Madani @ Pasar Tani Kekal
(PTK) Simpang Empat, Arau, Perlis.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan majlis perasmian Karnival Jualan Agro Madani @ Pasar Tani Kekal (PTK) Simpang Empat, Arau, Perlis yang berlangsung selama empat hari mulai 16 November.

Hadir sama Pengarah FAMA Perlis, Mohd Anzara Azizan.

12,500 ISI RUMAH

Shahrizan berkata penganjuran karnival selama empat hari ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada 12,500 isi rumah dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM 437,000.00.

Beliau berkata, ia melibatkan 60 orang usahawan pelbagai komoditi.

“Penganjuran karnival ini adalah untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat khususnya di negeri Perlis melalui tawaran barangan keperluan harian dengan harga yang lebih rendah daripada pasaran,” kata beliau.

Selain itu kata Shahrizan karnival ini juga memberi luang pasaran tambahan kepada usahawan memperkenal dan memasarkan produk keluaran Perlis seterusnya menyokong Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Menurut beliau juga, antara barangan keperluan yang ditawarkan pada karnival ini adalah antara 10 peratus hingga 30 peratus lebih rendah dari pasaran seperti Daging Tempatan, Ayam Segar, Telur Ayam, Sayur-Sayuran dan Produk Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT).

Selain itu, kata beliau pada karnival ini juga menawarkan 1800 set Kombo Madani melibatkan barangan keperluan harian dengan harga RM 10.00 sebagai salah satu tarikan pengunjung sempena karnival ini. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *