Raja Perlis menasihatkan warga angkatan tentera berbelanja ikut kemampuan, hindar pinjam Along

Oleh: Sholina Osman
18 OKT. 2025

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menasihatkan warga angkatan tentera supaya berbelanja mengikut kemampuan dan keperluan sebenar diri masing-masing.

Cubalah sedaya upaya untuk menghindarkan diri dari terlibat dengan meminjam daripada Along.

Tuanku Syed Sirajuddin meminta seluruh warga Rejimen Renjer DiRaja dan juga Kor Polis Tentera DiRaja yang mempunyai anggota dari pelbagai agama, bangsa dan kaum sentiasa menjaga nama baik kor dan mengekalkan tahap disiplin, kebersamaan ‘esprit-de-corps’ serta semangat perpaduan yang unggul.

MAJLIS SANTAPAN MALAM

Tuanku Raja Perlis yang juga Kolonel Yang Di-Pertua Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Kor Polis Tentera Diraja (KPTD), berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Malam sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-82 serta Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan baginda di Dewan Datuk Othman Harun, Kem Wardieburn, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, bersama anakanda-anakanda puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Pengerusi Rejimen Renjer Diraja (RRD), Brigedier Jeneral Shamsor Jaafar dan Pengerusi Kor Polis Tentera DiRaja (KPTD), Brigedier Jeneral Shamsulakmar Ismail.

RRD DAN KPTD

Majlis berprestij ini dianjurkan bersama oleh RRD dan KPTD sebagai tanda penghormatan dan junjung kasih..

Dalam ucapannya, Brigedier Jeneral Shamsor menyeru seluruh warga RRD dan KPTD agar terus mengekalkan tahap komitmen, dedikasi, dan disiplin yang tinggi dalam melaksanakan setiap amanah dan tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan.

Beliau menegaskan bahawa semangat juang dan nilai disiplin yang menjadi teras kekuatan kedua-dua pasukan perlu terus dipelihara serta diperkukuhkan bagi memastikan RRD dan KPTD kekal berada di tahap kecemerlangan tertinggi dan terus disegani dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

UPACARA PEMOTONGAN KEK

Majlis turut menyaksikan Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyempurnakan upacara pemotongan kek sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Baginda serta pengurniaan penghargaan khas Piala Tuanku Syed Sirajuddin kepada Pengerusi RRD, sebagai simbol pengiktirafan terhadap kecemerlangan kepimpinan dan pencapaian rejimen tersebut.

Acara malam tersebut turut diserikan dengan pameran khas yang memaparkan perjalanan kepimpinan, sumbangan, dan jasa Tuanku Kolonel Yang Di-Pertua terhadap kedua-dua rejimen utama berkenaan, sebagai lambang keprihatinan dan sokongan Baginda terhadap warga tentera. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *