Presiden Mesir maklumkan usaha kenal pasti keluarkan mayat tebusan Israel dari Gaza – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
18 OKT. 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi memaklumkan kepada beliau bahawa tumpuan kini diberikan kepada usaha mengenal pasti serta membawa keluar mayat tebusan rakyat Israel dari Gaza.

Anwar berkata ianya supaya rejim Zionis tidak mempunyai sebarang alasan untuk melengah atau menggagalkan proses damai yang sedang diusahakan.

“Beliau turut memaklumkan mengenai pelaksanaan fasa kedua pelan tersebut, iaitu pembinaan semula Gaza, keperluan melindungi Tebing Barat, serta pelaksanaan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF),” kata Anwar dalam hantaran di FB.

MENERIMA PERKEMBANGAN TERKINI

Terdahulu beliau menghubungi Abdel Fattah menerusi panggilan telefon petang tadi bagi menerima perkembangan terkini mengenai Pelan Damai Gaza.

Dalam kesempatan tersebut, katanya Presiden El-Sisi turut menyampaikan jemputan kepada beliau untuk menghadiri Persidangan Pembangunan Semula Gaza yang akan berlangsung di Mesir, sebagai sebahagian daripada usaha bersama memperkukuh sokongan antarabangsa terhadap pemulihan Gaza.

“Presiden El-Sisi juga menyatakan harapan agar kunjungan Presiden Donald Trump ke Malaysia minggu hadapan membawa hasil yang positif, memandangkan peranannya amat penting dalam menjamin keamanan yang berkekalan di Gaza,” kata beliau.

“Kami sependapat mengenai keperluan untuk terus mempertahankan keamanan, memperkukuh agenda kemanusiaan, dan menyelaras pelaksanaan misi bantuan bagi rakyat Palestin yang masih berdepan penderitaan berpanjangan,” tambah Perdana Menteri. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *