

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
22 OKT. 2025
Seiring dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), sektor pertanian perlu diperkukuh melalui pendekatan baharu yang lebih mampan, berdaya tahan dan berorientasikan teknologi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata satu dasar sedang dipertimbangkan dan dimuktamadkan sebagai tindak balas proaktif terhadap cabaran keterjaminan makanan yang semakin kompleks, menerusi pendekatan bersepadu yang dipacu misi dan berteraskan bukti.
Justeru, kata beliau dasar tersebut akan memberi penumpuan kepada pengeluaran pertanian dan agromakanan yang cekap dan produktif, kemampanan sistem agromakanan, diplomasi makanan serantau, pemakanan sihat dan seimbang dan pertumbuhan ekonomi yg terangkum.
DIPERKUKUH DENGAN PERUNDANGAN
“Dasar ini turut akan diperkukuh dengan perundangan khusus bagi menyelaras dan menyeragamkan pelaksanaan dasar serta tindakan antara pelbagai agensi dan kementerian yang terlibat,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan negara.
Anwar berkata dalam mesyuarat berkenaan juga turut disentuh mengenai strategi untuk memangkin industri pertanian secara menyeluruh.
Beliau berkata langkah ini penting bagi memperkukuh tadbir urus, selain memastikan keberkesanan pelaksanaan Dasar Keterjaminan Makanan Negara secara menyeluruh. – JM
