


Wartawan JM
24 OKT. 2025
Seorang penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr. Norazian Mohamed Noor daripada Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam (FKTA), telah mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih Anugerah Emas Berganda (Double Gold Award) di GLOBALWIIN Summit of Roundtables & Awards 2025 yang berlangsung di London, United Kingdom pada 22 hingga 23 Oktober lalu.
Kenyataan media Pusat Komunikasi Korporat UniMAP memaklumkan hari ini bahawa anugerah berprestij itu dianjurkan oleh Global Women Inventors & Innovators Network (GLOBALWIIN), sebuah platform antarabangsa yang memberi pengiktirafan kepada wanita yang cemerlang dalam bidang inovasi, ciptaan dan keusahawanan di seluruh dunia.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Presiden GLOBALWIIN, Dr. Bola Olabisi dalam satu majlis gilang-gemilang yang menghimpunkan penyelidik dan inovator wanita dari pelbagai negara.
MENERUSI INOVASI BELIAU
Dr. Norazian menerima pengiktirafan itu menerusi inovasi beliau bertajuk
“Smart Air Quality Forecasting Tool for Transboundary Haze Events In Southeast Asia” iaitu satu sistem ramalan pintar berasaskan gabungan kaedah statistik dan pembelajaran mesin (AI) untuk meramalkan kepekatan bahan pencemar udara semasa episod jerebu rentas sempadan di Asia Tenggara.
Menurut Dr. Norazian, inovasi tersebut dibangunkan bagi memenuhi keperluan mendesak terhadap sistem ramalan kualiti udara yang lebih tepat, pantas dan berasaskan data sebenar.
“Cabaran jerebu di rantau ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan awam, malah memberi impak besar kepada ekonomi dan alam sekitar.
Inovasi ini dihasilkan bagi membantu pihak berkuasa serta masyarakat membuat tindakan awal berdasarkan ramalan kualiti udara yang lebih tepat,” katanya.
DARI PELBAGAI NEGARA
Sidang kemuncak GLOBALWIIN turut menghimpunkan peserta dari pelbagai negara yang terdiri daripada golongan usahawan, penyelidik dan pencipta wanita.
Setiap penyertaan dinilai melalui proses ketat termasuk penyerahan dokumen sokongan serta sesi pembentangan akhir (final pitching) di hadapan panel antarabangsa.
Tambahnya, alat ramalan tersebut turut menggabungkan pelbagai bahan pencemar utama seperti karbon monoksida (CO), ozon (O₃) dan sulfur dioksida (SO₂), selain mengambil kira parameter meteorologi seperti suhu, kelajuan angin dan kelembapan, sekali gus meningkatkan ketepatan ramalan berbanding model linear tradisional.
KEUPAYAAN PENYELIDIK UNIVERSITI
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, pencapaian Dr. Norazian membuktikan keupayaan penyelidik universiti tempatan bersaing di pentas antarabangsa.
“Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama UniMAP dan Malaysia di peringkat global, tetapi juga menjadi inspirasi kepada golongan wanita dalam bidang sains dan teknologi untuk terus mencipta impak,” katanya.
Zaliman berkata ia memperkukuh lagi reputasi UniMAP sebagai universiti berteraskan teknologi dan inovasi, selaras dengan peranannya dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan usaha negara memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan penyelidikan berimpak tinggi. – JM
