


Petaling Jaya, 29 Oktober –Mesyuarat Principals ASEAN-PAC ke-21 melabuhkan tirainya dengan penegasan semula komitmen negara anggota untuk memperkukuh integriti, tatakelola baik dan kerjasama serantau dalam memerangi rasuah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki yang juga merupakan Pengerusi mesyuarat kali ini, merakamkan penghargaan kepada semua delegasi atas penyertaan aktif dan semangat kerjasama serantau yang dizahirkan sepanjang dua hari persidangan tersebut.
“ASEAN-PAC kini bukan sahaja menjadi wadah dialog, tetapi sebuah komuniti yang bertindak secara dinamik.
“Kejayaan sebenar ASEAN-PAC tidak terletak pada dokumen yang kita tandatangani, tetapi pada nilai yang kita junjung dan kepercayaan yang kita bina bersama ke arah rantau yang berintegriti dan berpaksikan keadilan,” katanya dalam ucapan penutup Mesyuarat Principals ASEAN-PAC Ke-21 di Sunway Resort Hotel di sini, hari ini.
Menurutnya, penilaian terhadap Pelan Tindakan 2023–2025 serta penggubalan Pelan Tindakan baharu bagi tahun 2026–2028 mencerminkan kesungguhan ASEAN-PAC untuk bergerak daripada pernyataan komitmen kepada hasil yang nyata.
Mesyuarat turut menyaksikan pembentangan dan perkongsian pengalaman oleh negara anggota dalam memperkukuh sistem integriti, mempromosi ketelusan serta meningkatkan kepercayaan awam.
Dalam majlis itu, Tan Sri Azam turut memperkenalkan Portal ASEAN-PAC yang dinaik taraf, inisiatif yang asalnya dibangunkan oleh SPRM pada 2014. Portal dengan reka bentuk dan ciri baharu itu berfungsi sebagai platform interaktif untuk perkongsian maklumat, pameran inisiatif dan pengukuhan jaringan kerjasama antara negara anggota secara maya.
“Saya menggalakkan semua ahli untuk terus menyumbang agar portal ini kekal sebagai ruang dinamik bagi pembelajaran dan kerjasama bersama,” katanya.
Beliau turut menghargai penglibatan rakan antarabangsa seperti United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC); United Nations Development Programme (UNDP); International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA) dan Perdana International Anti-Corruption Champion Foundation (PIACCF) yang memperkukuh dimensi global dialog serantau tersebut.
Mesyuarat kali ini juga bersetuju untuk menyerahkan tanggungjawab penganjuran Mesyuarat Principals ASEAN-PAC ke-22 kepada Suruhanjaya Antirasuah Myanmar pada tahun hadapan.
Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Dato’ Azmi Kamaruzaman.
