Fahmi hadir program HBK, Temu Anak Muda di NADI Kampung Kopimpinan, Putatan, Sabah

Wartawan JM
12 NOV. 2025

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menghadiri Program Hari Bersama Komuniti (HBK) dan Temu Anak Muda di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Kopimpinan, Putatan, Sabah baru-baru ini.

Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan program
anjuran Kementerian Komunikasi menerusi MCMC ini mengetengahkan beberapa modul di bawah Perkhidmatan Pintar NADI.

“Ia termasuk Nadipreneur; pembelajaran sepanjang hayat; pembangunan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); kesedaran keselamatan siber dan etika media sosial; MyFutureJobs; Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO); Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN),” kata kenyataan itu.

JUMLAH KEAHLIAN BELIA

Sehingga kini, 16,518 belia di Sabah telah mengikuti program NADI, dengan jumlah keahlian belia di seluruh negeri mencapai 50,439 orang.

Selain itu, kata kenyataan itu lagi program Duta NADI dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Yayasan Sukarelawan
Siswa (YSS), turut memperkukuh advokasi keselamatan siber serta literasi digital di peringkat komuniti.

Terdahulu Fahmi meninjau pengoperasian menara telekomunikasi di Kampung Keronggu, Inanam bagi menilai keberkesanan pelaksanaan projek JENDELA Fasa 1 untuk memperkukuh liputan komunikasi di kawasan tersebut.

MENYEDIAKAN LIPUTAN 4G

Menara komunikasi di kawasan ini kini menyediakan liputan 4G untuk pengguna CelcomDigi, Maxis dan U Mobile, dengan purata kelajuan 90 Mbps melalui penggunaan Starlink, sementara menunggu pelaksanaan sambungan gentian optik.

Inisiatif ini memberikan manfaat kepada lebih 500 penduduk, serta mencerminkan peningkatan ketara capaian Internet di Sabah yang kini mencatatkan 96.81 peratus berbanding 73.41 peratus sebelum pelaksanaan JENDELA.

Penyedia perkhidmatan diminta
menambah kapasiti bagi memastikan kualiti liputan mematuhi piawaian MCMC.

MELIHAT SENDIRI MENARA

Fahmi turut melihat sendiri menara telekomunikasi di Kampung Tulung,
Penampang, yang terjejas akibat banjir bagi meninjau kerja menaikkan kabinet peralatan telekomunikasi yang telah dilaksanakan bagi memastikan kestabilan dan
kesinambungan operasi rangkaian semasa cuaca ekstrem.

Kerja-kerja ini dilaksanakan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) bersama-sama GTP Network Sdn. Bhd. untuk memperkukuh ketahanan serta kebolehoperasian
infrastruktur komunikasi di kawasan berisiko tinggi seperti Penampang dan Kota Kinabalu.

Kementerian Komunikasi bersama MCMC akan terus memperkukuh komitmen dalam memastikan rakyat Sabah menikmati kemudahan komunikasi dan capaian Internet
yang berkualiti melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan infrastruktur digital serta pemerkasaan komuniti setempat di seluruh negeri. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *