
Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
15 NOV. 2025
Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara yang adil dan bertanggungjawab, membantu kedua-dua negara sahabat iaitu Thailand dan Kemboja mencapai penyelesaian damai yang berkekalan serta menyumbang pada pengukuhan kestabilan di rantau ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini selari dengan hasrat Malaysia sebagai sebuah negara yang berkomited tegas terhadap keamanan serantau.
Terdahulu Anwar telah berhubung dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet menerusi telefon bagi menilai perkembangan terkini terkait isu sempadan antara Kemboja dan Thailand.
PENDEKATAN YANG MATANG
“Dalam perbincangan tersebut, saya menghargai setulusnya pendekatan yang matang yang diambil pihak Kemboja yang terus memilih jalan damai serta memberi keutamaan pada penyelesaian melalui perundingan dan dialog yang sihat,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Kata Anwar Malaysia tentunya mendukung sepenuhnya pendirian Kemboja untuk menggunakan saluran yang telah disepakati bersama sebelum ini dan menyemangati Perjanjian Damai Kuala Lumpur bertarikh 26 Oktober 2025 sebagai landasan untuk menamatkan pertikaian yang berlarutan.
Jelas beliau prinsip ini penting bagi memastikan sebarang perbedaan didepani dengan tenang, tersusun dan berasaskan persefahaman serantau. – JM
