Pengunjung Taman Laut Malaysia wajib bawa pulang sampah ke darat 1 Januari 2026

Oleh: Sholina Osman
18 NOV. 2025

Semua pengunjung Taman Laut Malaysia wajib untuk membawa pulang sampah masing-masing ke darat bermula 1 Januari 2026.

Kenyataan media Jabatan Perikanan Malaysia di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPTM) memaklumkan ia diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Penasihat Kebangsaan Taman Laut dan Rizab Laut (MPKTLRL) yang bersidang pada 17 November 2025.

Ketetapan ini turut disokong wakil Kerajaan Negeri Kedah, Pahang, Johor, Terengganu, Melaka dan Wilayah Persekutuan Labuan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
yang aktif dalam pemuliharaan marin.

Langkah ini merupakan tindakan strategik kerajaan bagi mengurangkan pencemaran marin,
khususnya sisa plastik yang dikenal pasti sebagai ancaman terbesar kepada ekosistem laut.

KEROSAKAN TERUMBU KARANG

Pencemaran plastik telah menyebabkan kerosakan terumbu karang, kematian hidupan marin serta
peningkatan mikroplastik yang akhirnya memberi kesan kepada kesihatan manusia dan
keterjaminan makanan negara.

Ketetapan baharu ini menegaskan komitmen negara dalam
memastikan kawasan perlindungan marin kekal bersih, sihat dan lestari.

Sehubungan itu, KPKM menyeru pengusaha bot, pusat selaman, pemandu pelancong, komuniti
setempat dan industri pelancongan untuk bersama-sama menjayakan kempen “Bawa Pulang Sampah Anda”.

MENINGKATKAN KESEDARAN MASYARAKAT

Kerjasama kolektif semua pihak amat penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman pencemaran plastik serta kepentingan memelihara sumber
makanan negara.

Mesyuarat turut membentangkan inisiatif strategik berasaskan sains, iaitu Pemetaan Kawasan
Penting Pesisir dan Marin Malaysia, yang bertujuan mengenal pasti serta memelihara kawasan sensitif seperti tapak pembiakan kritikal dan habitat terumbu karang yang terancam untuk pelaksanaan tindakan perlindungan yang lebih bersasar.

KPKM menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri memberikan penekanan khusus terhadap aspek
konservasi marin dalam mempertimbangkan agihan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) yang diterima melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

DISALURKAN SECARA FOKUS

Peruntukan berkenaan wajar disalurkan secara fokus kepada inisiatif pemuliharaan berimpak tinggi
yang menyokong pelaksanaan Kawasan Perlindungan Marin (MPA) di peringkat negeri.

Pendekatan ini penting bagi membantu negara mencapai sasaran 10 peratus liputan MPA, selaras
dengan agenda konservasi nasional dan antarabangsa. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *