

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
19 NOV. 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan komitmen Malaysia melalui pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa pada September lalu, selaras dengan pengiktirafan terhadap Ethiopia sebagai hab diplomatik penting di benua Afrika.
Beliau berkata Malaysia juga mengalu-alukan penubuhan Kedutaan Ethiopia di Kuala Lumpur sebagai satu lagi langkah memperkukuh jambatan persahabatan, kepercayaan dan kerjasama dua hala.
“Semoga hubungan Malaysia dan Ethiopia terus diperkasa dengan semangat persahabatan tulen, keyakinan bersama dan manfaat yang dirasai rakyat kedua-dua negara,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Terdahulu Anwar mengadakan pertemuan ringkas bersama Presiden Republik Demokratik Persekutuan Ethiopia, Taye Atske Selassie Amde.
“Dalam semangat memperingati 60 tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara, kami sehaluan bahawa ia harus dipacu dengan hala tuju baharu merentasi kerjasama tradisional kepada sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, ekonomi halal, keselamatan siber serta bidang strategik lain yang mampu membuka ruang pertumbuhan bersama,” kata beliau. – JM
