
Oleh: Sholina Osman
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
20 NOV. 2025
Satu sejarah penting tercipta di Addis Ababa apabila berlangsungnya pertukaran dokumen kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Addis Ababa City Hall.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata langkah ini mengukuhkan hubungan antara dua ibu kota yang memberi nilai strategik kepada kedua-dua pihak.
Beliau berkata delegasi Malaysia semalam berpeluang meninjau Ethiopian Science Museum dan Friendship Park.
“Kedua-dua lokasi ini mencerminkan pembangunan pesat Ethiopia hasil visi urbanisasi yang progresif di bawah kepimpinan Perdana Menterinya Dr Abiy Ahmed,” kata beliau dalam hantaran di FB.
MEMBENTUK WAJAH BANDAR
Dr Zaliha berkata lawatan ini turut memberikan gambaran jelas tentang bagaimana negara ini sedang membentuk wajah bandar masa depannya melalui inovasi, teknologi dan pengukuhan ruang awam.
“Kerjasama yang direkodkan hari ini membuka ruang baharu kepada Kuala Lumpur untuk memperluas rangkaian global, memahami pendekatan pembangunan di Afrika Timur dan meningkatkan kapasiti teknikal bandar selari dengan keperluan masa kini,” tambah beliau.
Dr Zaliha berkata dokumen yang dimeterai ini meliputi lima bidang tujahan iaitu pengurusan sisa dan ekonomi kitaran; pelancongan serta budaya dan sukan; pembangunan kapasiti institusi; pengurusan taman awam; serta mitigasi banjir dan ketahanan iklim.
Jelas beliau kesemua bidang tujahan ini menggambarkan komitmen bersama ke arah pembinaan bandar yang lebih terancang, berdaya tahan dan berpaksikan kemampanan.
PELAKSANAAN VISI BANDAR
“Bagi Wilayah Persekutuan, kerjasama ini seiring dengan pelaksanaan visi Bandar CHASE yang sedang digerakkan,” kata beliau lagi.
Beliau berkata pertukaran teknikal dengan Addis Ababa berpotensi memperkukuh dasar pembangunan bandar Kuala Lumpur khususnya dalam aspek perancangan, ruang hijau, mobiliti dan penyesuaian terhadap perubahan iklim.
Jelas Dr Zaliha Inisiatif ini juga memberi peluang kepada kedua-dua bandar untuk membangunkan latihan, pertukaran kepakaran dan projek bersama yang dapat meningkatkan keupayaan Kuala Lumpur menghadapi cabaran global seperti tekanan urbanisasi dan keperluan pembangunan yang lebih mampan. – JM
