






Oleh: Sholina Osman
20 NOV. 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Konvokesyen (FESTKON) ke-20 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di pekarangan Dataran Ilmu, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr. Zaliman Sauli, serta barisan pengurusan tertinggi universiti.
FESTKON 20 merupakan platform tahunan yang meraikan detik bermakna konvokesyen sambil memperkukuhkan hubungan UniMAP dengan masyarakat melalui elemen budaya, seni dan kreativiti.
PENGALAMAN LEBIH SEGAR
Penganjuran tahun ini dijangka menawarkan pengalaman lebih segar, penuh warna dan berinspirasi selaras dengan tema fantasi yang diketengahkan.
Ribuan pelajar UniMAP serta pengunjung memenuhi tapak festival sempena majlis perasmian yang turut disertai mahasiswa daripada pelbagai fakulti serta pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berdekatan yang lain.
Antara persembahan utama yang memukau hadirin ialah persembahan daripada kumpulan terkenal tanah air, MASDO, selain persembahan pembukaan istimewa “Disney Mix” oleh Artis Budaya UniMAP serta pelbagai persembahan nyanyian dan tarian.
SIMBOLIK PERASMIAN FESTKON 20
Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Canselor UniMAP turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian FESTKON 20 dan menyaksikan penyampaian cenderahati kepada lima penaja utama.
Raja Muda juga menzahirkan harapan agar FESTKON 20 pada tahun ini dan seterusnya terus menjadi platform penting yang menyatukan seluruh komuniti universiti dan masyarakat.
Acara ini melambangkan perjalanan UniMAP dalam membentuk insan berilmu, memelihara budaya, memupuk kepimpinan pelajar serta mengukuhkan hubungan dengan masyarakat. – JM
