



Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
20 NOV. 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Dr. Abiy Ahmed Ali menyaksikan pertukaran beberapa dokumen penting yang akan memperkukuh kerjasama Malaysia dan Ethiopia merentas pelbagai bidang strategik.
Anwar berkata dokumen tersebut merangkumi Perjanjian Perkhidmatan Udara; Memorandum Persefahaman (MoU)Kerjasama Kesihatan; MoU Bidang Pelancongan; Kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Bandaraya Addis Ababa dan Pengumuman Pertukaran Nota bagi memulakan Konsultasi Dua Hala secara berkala
“Langkah ini menzahirkan tekad kedua-dua negara untuk membina rangka hubungan yang lebih tersusun, inklusif dan berdaya saing demi membuka ruang kemajuan yang dapat dirasai manfaatnya oleh rakyat Malaysia dan Ethiopia,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Dalam sidang media bersama, Anwar berkata beliau dan Dr. Abiy sekali lagi menzahirkan tekad untuk memperkukuh hubungan Malaysia dan Ethiopia dalam segala dimensi berteraskan persahabatan tulen dan saling percaya.
“Kami turut menegaskan komitmen untuk memastikan setiap bentuk kerjasama antara kedua-dua negara berjalan dengan baik, teratur dan memberi manfaat nyata kepada rakyat keseluruhannya,” tambah Anwar. – JM
