PRN SABAH KE-17:Bekerja keras ,temui setiap pengundi nadi kemenangan calon PH

Oleh Helmi Mohd Foad
(Sorotan PRN Sabah ke-17)

19 November 2025

Kekuatan jentera parti menjadi nadi kepada kemenangan Harapan Rakyat (PH) dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 bagi membolehkan mereka menemui setiap pengundi.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata, jentera parti perlu bersatu Dan bekerja keras di setiap pusat daerah mengundi (PDM).

“Setiap pengundi yang kita temui, setiap pintu yang kita ketuk dan setiap maklumat yang kita sampaikan mesti berasaskan fakta dan keyakinan terhadap agenda reformasi yang dibawa Pakatan Harapan,” kata beliau ketika melawat Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan N.26 Moyog di Plaza Kivatu, Penampang hari ini.

Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi turut memberikan taklimat serta kata-kata semangat kepada calon PH di kerusi DUN N.26 Moyog, Remysta Jimmy Taylor dan ketua-ketua PDM yang menjadi tulang belakang gerak kerja kempen di Moyog.

Beliau menyatakan Remysta adalah anak muda Moyog yang mempunyai disiplin tinggi dan rekod perkhidmatan yang jelas.

MEMBAWA SUARA GENERASI BAHARU

Jelasnya calon PH tersebut membawa suara generasi baharu yang mahu melihat Moyog maju dengan infrastruktur yang lebih baik dan perkhidmatan rakyat yang lebih cekap.

“Saya yakin, dengan kesatuan jentera dan kerja keras semua PDM, kita mampu membawa kemenangan kepada Pakatan Harapan di Moyog.

“Terima kasih kepada semua petugas parti dan sukarelawan yang hadir. Komitmen kalian menjadi kekuatan utama perjuangan ini,” katanya.

Sebelum ini, PH mengumumkan tambahan kerusi di Moyog ditandingi sehari sebelum proses penamaan calon semalam.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *