Kejayaan tidak bergantung kepada akademik tetapi kebijaksanaan sesuaikan diri – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
22 NOV. 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah dalam era dunia tanpa batasan hari ini, kejayaan tidak lagi bergantung pada kelulusan akademik semata-mata, tetapi turut ditentukan oleh kebijaksanaan seseorang itu menyesuaikan diri dengan perubahan dan cabaran semasa.

Baginda turut menegaskan bahawa kemajuan tidak seharusnya mengorbankan nilai bangsa.

Titah Baginda dalam mengejar aspirasi global, bahasa, budaya dan maruah asal-usul wajib dipertahankan.

Siswazah UniMAP perlu menjadi contoh rakyat Malaysia yang berilmu, berdisiplin dan beradab mampu bersaing di persada dunia tanpa mengabaikan adat serta nilai ketimuran.

TEORI DAN REALITI

“Siswazah yang berjaya ialah mereka yang mampu menghubungkan teori dengan realiti, serta mengaplikasikan ilmu untuk manfaat masyarakat.

Kepakaran harus digerakkan untuk memimpin inovasi, memupuk nilai kemanusiaan, dan meningkatkan kesejahteraan sejagat. Itulah makna sebenar seorang intelektual yang berwawasan dunia,” titah Baginda lagi.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra, merangkap Tuanku Canselor UniMAP, ketika menyempurnakan sidang pertama Istiadat Konvokesyen 20 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, merangkap Tuanku Pro Canselor UniMAP.

PRO CANSELOR 2

Turut berangkat ialah Pro Canselor 2 UniMAP, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail yang baru dilantik berkuatkuasa 22 November 2025, serta Anakanda Puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Tan Sri Sufri Mhd Zin; Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli serta barisan pengurusan tertinggi universiti.

Sidang pertama ini melibatkan seramai 378 siswazah dari Pusat Pengajian Siswazah (PPS) serta Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK).

Raja Muda turut menzahirkan pesanan agar Ilmu yang ditimba di UniMAP hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina masa depan yang lebih baik demi kemajuan diri, industri, negara, dan kesejahteraan seluruh manusia. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *