



Oleh: Sholina Osman
22 NOV. 2025
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyertai pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama komuniti diaspora Malaysia di Republik Afrika Selatan.
“Walaupun dipisahkan ribuan batu, kemesraan dan semangat kekitaan mereka mengingatkan kami kepada suasana di tanah air,” kata Dr Zaliha dalam hantaran di FB.
Dalam sesi tersebut, beliau diberi ruang untuk berkongsi perkembangan terkini Wilayah Persekutuan.
LANDASAN YANG STABIL
“Saya memaklumkan bagaimana Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berada pada landasan yang stabil di bawah Kerajaan MADANI, termasuk usaha memperkukuh perumahan mampu milik melalui Residensi MADANI, menaik taraf ekosistem niaga menerusi agenda Lestari Niaga, serta pembaharuan terkini bagi memastikan sistem yang lebih adil kepada rakyat,” kata beliau.
Beliau turut berkongsi secara umum hala tuju pelaburan masa hadapan Wilayah Persekutuan, termasuk cadangan kerjasama serantau seperti KL Metropolis yang berpotensi mewujudkan ekosistem ekonomi lebih luas di rantau tengah.
RUANG PERTUMBUHAN BAHARU
Bagi Labuan pula, Dr Zaliha menekankan bagaimana sektor pelancongan yang semakin rancak membuka ruang pertumbuhan baharu di samping struktur ekonomi sedia ada.
Di akhir program, Dr Zaliha sempat bergambar bersama para wanita yang menjadi tulang belakang Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di sinii.
“Terima kasih atas layanan mesra dan hidangan masakan Malaysia yang mereka sediakan untuk makan tengah hari saya semalam,” ujar beliau. – JM
