


Oleh: Sholina Osman
Foto media sosial
22 NOV. 2025
Rakyat Malaysia yang ingin melancong atau melawat ke Selatan Thailand dinasihat supaya menangguhkan dahulu.
Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi menasihatkan agar semua rakyat Malaysia menangguhkan dahulu perancangan ini ekoran cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan ketika ini serta banjir yang sedang melanda dikebanyakan kawasan di Selatan Thailand.
“Manakala rakyat Malaysia yang sedang berada di Selatan Thailand dinasihatkan supaya peka dengan keadaan cuaca, mengikuti pengumuman, berita dan nasihat daripada pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa serta menjaga keselamatan diri masing-masing,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Bagi yang memerlukan bantuan konsular, nombor pegawai bertugas yang boleh dihubungi seperti berikut: Pegawai Bertugas (Duty Officer): +6681-9901930
E-mel: mwsongkhla@kln.gov.my
KETIKA INI TERKANDAS
Sementara itu kata Ahmad Fahmi lapan rakyat Malaysia yang sedang bercuti di Hatyai ketika ini terkandas di beberapa buah hotel selepas pusat pelancongan itu ditenggelami banjir sejak semalam.
Beliau berkata, maklumat tersebut diterima selepas individu tersebut menghubungi pejabat konsulat untuk meminta bantuan selepas terkandas.
“Pegawai bertugas konsulat masih menerima beberapa panggilan daripada rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau juga menerima maklumat daripada Majlis Perbandaran Hatyai, beberapa jalan di pusat bandar telah ditutup akibat ditenggelami banjir sejak semalam. – JM
