Rufinah azam tingkatkan kualiti hidup wanita, kanak-kanak Tulid

Apabila golongan wanita diberi ruang, sokongan dan peluang , satu keluargan dapat keluar daripada kitaran kesusahan. – Rufinah
Rufinah gigih menyantuni warga Tulid tanpa mengira kaum.

Oleh Helmi Mohd Foud
(Sorotan PRN Sabah ke-17 bersama Datin Rufinah Pengeran Calon PH N.44 Dun Tulid)

23 November 2025

TULID (Sabah) – Berbekalkan pengalaman luas dalam bidang pendidikan, calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Tulid, Datin Rufinah Pengeran berazam mahu memastikan kanak-kanak di kawasan itu mendapat pendidikan berkualiti bagi membolehkan mereka bersaing ke peringkat lebih tinggi.

Beliau yang merupakan Ketua Wanita KEADILAN Sabah juga mahu memberikan fokus membuka lebih banyak peluang kepada golongan wanita dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kepimpinan.

“Sebagai anak jati Pensiangan, saya mahu melihat wanita Tulid bukan hanya berada di belakang tetapi berada di hadapan perubahan.

“Wanita mempunyai kekuatan, kebijaksanaan dan semangat yang mampu membina keluarga, mendidik anak-anak dan memajukan komuniti,” kata Rufinah, 50, dalam satu hantaran rakaman video yang disiarkan dalam laman media sosialnya.

WANITA PERLU DIBERI RUANG DAN SOKONGAN

Beliau berkata, apabila golongan wanita diberi ruang, sokongan dan peluang, satu keluarga dapat keluar daripada kitaran kesusahan.

Selain itu, bagi memastikan kanak-kanak di Tulid mendapat pendidikan berkualiti, mereka perlukan kemudahan sekolah yang baik, program tuisyen percuma, akses digital serta bimbingan untuk berjaya sama ada dalam akademik, ekonomi, sukan atau bidang profesional.

“Ini akan memberi keyakinan kepada anak-anak bahawa masa depan mereka tidak terbatas dan boleh bersaing di peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya yang juga penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Guru 2014 dan 2021.

PEMELIHARAAN BUDAYA

Selain dunia pendidikan, Rufinah aktif memperjuangkan pembangunan wanita dan pemeliharaan budaya.

Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat serta Ketua Cabang KEADILAN Pensiangan itu turut menerajui Persatuan Tradisi Seni Budaya Sabah dan Pertubuhan Binar Sinar Wanita Sabah

Lulusan Sarjana Pengurusan Pendidikan UNITAR itu ternyata membawa semangat baharu untuk membina masyarakat Tulid yang lebih berdaya, berilmu dan inklusif selaras dengan semangat reformasi KEADILAN untuk menjadikan politik sebagai medan khidmat dan bukannya kepentingan diri sendiri.

Dari segi pembangunan, Rufinah komited memperjuangkan jalan yang lebih baik, bekalan air bersih, bekalan elektrik stabil, kemudahan Internet untuk semua serta pembangunan seimbang di seluruh Tulid.

Beliau turut mahu melihat kawasan pergunungan Trusmadi bukan hanya suatu kebanggaan malah menjadi sumber ekonomi kepada penduduk melalui pelancongan komuniti, inap desa, produk tempatan, pemandu pelancong dan peluang kerja.

“Saya menawarkan diri bukan untuk nama atau kedudukan tetapi untuk amanah. Untuk memberi khidmat, membawa suara rakyat dan membina masa depan yang lebih cerah untuk wanita, anak-anak dan seluruh masyarakat Tulid.

“Saya mohon doa, sokongan dan kepercayaan daripada semua. Mari kita bangkit bersama untuk membina Tulid yang lebih maju, berdaya saing dan kebanggaan generasi akan datang,” katanya.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *