Kru kabin wanita AirAsia boleh berhijab di semua laluan mulai Ramadan 2026

Oleh: Sholina Osman
5 DIS. 2025

AirAsia hari ini mengumumkan pembaharuan dalam polisi pakaian seragam kru kabin, yang membolehkan kru wanita mempunyai pilihan untuk memakai hijab semasa bertugas.

Kenyataan media AirAsia hari ini memaklumkan ia selaras dengan budaya AirAsia dan evolusi yang berterusan yang dibentuk oleh maklum balas daripada semua.

AirAsia berbangga dalam mewujudkan persekitaran kerja di mana setiap Allstar berasa yakin, selesa dan bangga mewakili syarikat penerbangan di mana sahaja mereka terbang.

PEMBAHARUAN TERKINI MEMACU

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Bo Lingam berasa bangga kerana pembaharuan terkini memacu pertumbuhan dan pengembangan AirAsia sebagai syarikat penerbangan global dengan tenaga kerja yang pelbagai yang membuktikan komuniti dan budaya yang mereka hubungkan setiap hari.

“Seragam kami sentiasa mencerminkan profesionalisme, keselamatan dan keselesaan dan evolusi ini membina asas tersebut
dengan memberikan keyakinan kepada kakitangan kami selaras dengan kepercayaan mereka,” kata beliau.

Kru kabin AirAsia sebelum ini telah menggunakan hijab sebagai sebahagian daripada operasi di beberapa laluan terpilih, seperti Jeddah di mana ia diwajibkan oleh peraturan tempatan.

MEMPERLUAS FLEKSIBILITI TERSEBUT

Pembaharuan terkini adalah memperluaskan fleksibiliti tersebut kepada semua kru kabin wanita yang memilih untuk memakainya, memastikan keseragaman di seluruh rangkaian syarikat penerbangan dengan mengekalkan identiti jenama AirAsia yang profesional.

Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia Suhaila Hassan berkata, Allstars kami berasal dari pelbagai latar belakang, budaya dan kepercayaan, namun tetap bersatu dengan komitmen bersama untuk memberikan perkhidmatan dan penjagaan bertaraf dunia kepada para tetamu yang telah dibuktikan melalui kemenangan dalam pelbagai anugerah penerbangan pada setiap tahun.

MENERIMA MAKLUM BALAS

“Kami akan terus menerima maklum balas daripada Allstars kami dan bekerjasama rapat dengan mereka dalam reka bentuk terperinci dan pelaksanaan sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya,” kata beliau.

Sehubungan itu diharapkan ia akan dimulakan pada bulan Ramadan 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Tony Fernandes berkata salah satu kekuatan terbesar AirAsia sentiasa terletak pada Allstars yang menyuarakan pelbagai pendapat.

KRU KABIN KAMI

“Apabila kru kabin kami mengetengahkan perkara ini kepada pihak pengurusan, adalah penting bagi kami untuk menilai,” kata Tony.

Menghormati pandangan dan kepercayaan yang berbeza bukan sahaja sebahagian daripada budaya kami, tetapi juga telah membentuk kejayaan kami sepanjang tahun.

“Inilah cara kami berkembang dengan berevolusi bersama berdasarkan pandangan daripada kakitangan kami,” tambah beliau.

Pakaian seragam kru kabin ikonik AirAsia yang berwarna merah akan kekal dengan pilihan hijab dan seluar yang direka secara profesional diteruskan mengikut reka bentuk yang sama seperti dipakai oleh kru yang bertugas di laluan Jeddah. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *