

Oleh: Sholina Osman
6 DIS. 2025
Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan telahpun mengarahkan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Bukit Aman segera melengkapkan laporan siasatan berhubung kematian Manisegaran Mohan.
Kenyataan media AGC hari ini memaklumkan ia bagi membolehkan kes tersebut dirujuk kepada Mahkamah Koroner untuk menentukan punca dan sebab kematian.
Laporan penuh siasatan tersebut dijangka akan dirujuk kepada Jabatan ini dalam masa terdekat.
KEMATIAN DALAM TAHANAN
Jabatan ini sekali lagi menegaskan kekal komited memastikan setiap kes kematian dalam tahanan ditangani secara telus, menyeluruh dan selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa.
Kenyataan media AGC ini sebagai merujuk kepada laporan Malaysiakini pada 4 Disember 2025 yang bertajuk “Gobind presses AGC on inmate’s uninvestigated custodial death”.
Petikan dari laporan Malaysiakini menyebut Menteri Digital, Gobind Singh Deo menggesa AGC menjelaskan dakwaan tentang seorang pemandu lori yang mati dalam tahanan polis tetapi tidak disiasat selepas lebih sembilan bulan.
TIDAK ADA TINDAKAN
Gobind yang mengulas laporan Malaysiakini berhubung kes ini berkata, sehingga kini tidak ada tindakan diambil oleh pihak berkuasa walaupun kejadian menimpa Manisegaran, 41, sudah berlaku berbulan-bulan.
“Saya rasa elok untuk AGC memberitahu kenapa tidak ada tindakan yang diambil, khususnya kerana beliau merupakan penjaga kepentingan awam (custodian of public interest),” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.
Gobind yang juga Pengerusi DAP Kebangsaan berkata demikian sebagai mengulas kejadian 22 Feb lalu melibatkan Manisegaran yang meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan selepas ditahan di Balai Polis Sunway, Petaling Jaya. – JM
