


Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
9 DIS. 2025
Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 8 telah bersetuju menubuhkan Ombudsman Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia sebagai agensi pusat untuk mengurus dan menyelesaikan aduan awam dengan mandat lebih menyeluruh merangkumi salah tadbir, salah laku, perlindungan pemberi maklumat dan kebebasan maklumat.
Beliau berkata penubuhan ini menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh hak rakyat serta memelihara integriti sektor awam.
PADA AWAL 2026
“Rang Undang-Undang Ombudsman Malaysia dijadual dibentangkan pada awal 2026,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Terdahulu Anwar mempengerusikan mesyuarat JKKTN Siri 8 di Putrajaya.
Beliau berkata beberapa persetujuan penting melibatkan pembaharuan dasar dan perundangan telah dicapai bagi memperkukuh keberkesanan serta integriti pentadbiran Kerajaan dan perkhidmatan awam.
MENGURUS DANA AWAM
Jelas beliau Kerajaan MADANI turut menitikberatkan peningkatan pematuhan korporat bagi syarikat yang mengurus dana awam, supaya mandat sosial mereka dilaksana mengikut standard tadbir urus yang baik dan berlandaskan kerangka undang-undang yang lebih tersusun.
“Ini termasuk cadangan undang-undang baharu bagi menyelaras Perusahaan yang Dimiliki atau Dikawal oleh Kerajaan (SOE), termasuk anak syarikat badan berkanun,” tambah Perdana Menteri.
Jelas beliau segala persetujuan ini mencerminkan iltizam teguh Kerajaan MADANI untuk terus memacu reformasi institusi, dasar dan perundangan secara holistik demi mengukuhkan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap ketelusan pentadbiran negara serta mutu perkhidmatan awam. – JM
