






Oleh: Sholina Osman
8 DIS. 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyalurkan setiap sen royalti dari hasil jualan buku terbaharunya “Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance In Postnormal Times” kepada pelajar-pelajar miskin.
Beliau berkata ianya agar ilmu terus subur dan membuka jalan perubahan buat mereka mengangkat nasib diri serta keluarga.
“Kerana akhirnya, ini kekuatan sesebuah negara tidak diukur pada wacana pemimpinnya, tetapi pada masa depan yang bebas dan bermaruah untuk generasi seterusnya,” kata beliau dalam hantaran di FB.
BELIAU DITEMANI ISTERI
Terdahulu Anwar meluncurkan buku terbaharunya itu di Pavilion Bukit Jalil.
Beliau ditemani isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Saya sambut peluncuran naskhah ini penuh rasa syukur tatkala perjalanan hidup yang berliku tetap memaculkan idea dan menyuburkan tekad untuk menghasilkan sebuah karya tentang bangsa dan kemanusiaan,” kata Perdana Menteri.
Alhamdulillah, kata Anwar buku ini menerima dukungan menggalakkan daripada tiga penerbitan terkemuka: Hurst London untuk pasaran United Kingdom, Eropah dan Amerika Syarikat; Penguin untuk Malaysia dan Asia; serta Hong Kong University Press yang akan menerbitkan edisi China dan Asia Timur bermula Januari depan.
BUKU INI LAHIR
Beliau berkata buku ini lahir daripada catatan-catatan tatkala terbungkam di Sungai Buloh, ruang renungan yang melahirkan persoalan tentang keadilan, harga diri bangsa serta masa depan negara.
Jelas beliau ia bukan sekadar memoir, tetapi cetusan idea untuk pembinaan sebuah negara yang bertamadun, berasaskan kekuatan nilai, keberanian moral dan maruah rakyatnya.
Anwar berkata naskhah ini mengangkat persoalan besar tentang bagaimana kita menundukkan rasuah yang menjarah maruah bangsa, bagaimana merawat luka perkauman dan menangkis pelampau agama, serta bagaimana sebuah negara pascakolonial mencari kembali kedaulatan minda dan martabat rakyatnya.
CABARAN ZAMAN BAHARU
“Saya turut mengangkat zeitgeist atau cabaran zaman baharu, termasuk arus digital, kecerdasan buatan (AI) dan peralihan tenaga, yang menuntut negara ini mengejar kemajuan tanpa kehilangan jiwa,” kata beliau
Anwar menambah teknologi memperkasa kita, namun nilai dan perikemanusiaan memberi makna kepada kemajuan.
“Catatan yang terkumpul lebih sedekad ini hanya mampu terhimpun menjadi sebuah naskhah lengkap kerana insan istimewa di sisi yang menjaga ruang dan masa saya, di sebalik kesibukan tugas di siang hari dan malam-malam yang panjang dihabiskan menulis. Kerana itu, saya dedikasikan buku ini khas buat Azizah — teman setia, saksi perjalanan dan pembakar semangat dalam suka dan duka,” tambah beliau. – JM
