Mahkamah Rayuan Paris membatalkan “Anugerah Muktamad” palsu dalam kes Sulu

Oleh: Sholina Osman
10 DIS. 2025

Malaysia mencatat kemenangan besar apabila Mahkamah Rayuan Paris pada 9 Disember 2025 membatalkan sepenuhnya “Final Award” dalam tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kemenanga ini bukan sahaja kejayaan undang-undang, tetapi kemenangan maruah, kedaulatan dan hak seluruh rakyat Malaysia, terutamanya rakyat Sabah.

“Bagi pihak Sekretariat Khas War Room Sulu, saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakan-rakan Kabinet Kerajaan MADANI, pasukan perundangan Jabatan Peguam Negara (AGC), Wisma Putra, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) serta semua agensi Kerajaan yang berganding bahu dalam menjalankan amanah demi kepentingan rakyat dan negara.

ILTIZAM KERAJAAN MADANI

“Ia membuktikan iltizam Kerajaan MADANI mempertahankan negara dengan berprinsip dan berpaksikan undang-undang,” kata Azlina dalam perkongsian di FB hari ini.

Sementara itu dalam kenyataan media, Azalina berkata pada 9 Disember 2025, Mahkamah Rayuan Paris (“Mahkamah”) telah mengeluarkan keputusannya yang membatalkan sepenuhnya “Anugerah Muktamad” yang kononnya dikeluarkan oleh Gonzalo Stampa pada 28 Februari 2022, dan memerintahkan pihak yang mendakwa diri mereka sebagai penuntut Sulu supaya membayar kos sebanyak EUR 200,000 kepada Malaysia.

“Kerajaan Malaysia telah menerima penghakiman tersebut daripada Mahkamah pada awal pagi,” kata Azalina.

MEMPUNYAI BIDANG KUASA

Dalam penghakiman itu kata Azalina Mahkamah mengesahkan bahawa Stampa tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan “Anugerah Muktamad” tersebut kerana tiada perjanjian timbang tara yang sah dan mengikat Malaysia.

Sehubungan itu, kata beliau Mahkamah membatalkan keseluruhan “Anugerah Muktamad” tersebut.

“Malaysia percaya bahawa kemenangan ini akan menamatkan semua percubaan tidak berasas oleh pihak yang mendakwa diri mereka sebagai penuntut Sulu (dan penaja litigasi mereka, Therium) untuk memeras wang dan aset daripada rakyat Malaysia,” kata Azalina.

MALAYSIA TETAP BERSEDIA

Walau bagaimanapun, kata beliau Malaysia tetap bersedia untuk meneruskan perjuangan ini di mana-mana mahkamah sekiranya dicabar oleh pihak yang mendakwa diri mereka sebagai penuntut Sulu.

Pada 6 Jun 2023, Mahkamah Rayuan Paris telah pun menolak pengiktirafan dan pelaksanaan “Anugerah Sebahagian” yang dikeluarkan oleh Stampa pada 25 Mei 2020 atas alasan yang sama; seterusnya, pada 6 November 2024, Mahkamah Agung Perancis sepenuhnya menolak cabaran yang dikemukakan oleh pihak yang mendakwa diri mereka sebagai penuntut Sulu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Paris.

Kerajaan Malaysia menegaskan komitmen teguhnya untuk mempertahankan kedaulatan, kekebalan dan kepentingan negara Malaysia daripada tuntutan tidak berasas dalam penipuan Sulu ini. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *