

Oleh: Sholina Osman
10 DIS. 2025
Panduan kod etika berpakaian ketika berurusan di kaunter atau pejabat Kerajaan digariskan dalam Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bilangan 1 Tahun 2025: Pemantapan Pengurusan Perhubungan Pelanggan Sektor Awam telah berkuat kuasa pada 20 Januari 2025.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata ia menetapkan berpakaian sopan dan bersesuaian selaras dengan Rukun Negara ke lima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.
Dalam hal ini beliau berkata amelihat kepada keadaan perkhidmatan barisan hadapan seperti anggota keselamatan, kesihatan dan lain-lain perkhidmatan yang berhubung terus dengan pelanggan, kelonggaran etika berpakaian akan diberikan bagi kes kecemasan dan di luar norma biasa untuk tidak dinafikan hak pelanggan mendapatkan perkhidmatan segera seperti mana perkara 3.2 Lampiran A PKPA 1/2025.
DI LUAR NORMAL
“Urusan kecemasan dan di luar norma biasa adalah seperti laporan kemalangan, laporan kebakaran dan urusan perihal bencana yang boleh mengancam nyawa dan harta benda,” kata beliau dalam kenyataan media malam ini.
Jelas beliau bagi urusan biasa perkhidmatan kaunter dan pejabat Kerajaan, Ketua Jabatan boleh menggunakan budi bicara sewajarnya untuk menentukan etika berpakaian yang sopan dan bersesuaian berlandaskan garis panduan yang berkuat kuasa.
Shamsul Azri berkata perkhidmatan awam akan terus menambah baik perihal perhubungan pelanggan bagi memastikan akses dan penyampaian perkhidmatan perhubungan pelanggan yang mesa, cekap dan responsif selaras dengan pinsip Ihsan dalam nilai MADANI. – JM
