


Oleh: Sholina Osman
11 DIS. 2025
“Phone scam” terus mencari mangsa, terbaharu seorang penyelia kilang di Pontian, Johor mengalami kerugian bernilai RM306,824.94.
Pendedahan oleh Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain setelah mangsa seorang lelaki berusia 51 tahun ini membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Pontian pada 10 Disember 2025.
Hadzrat Hussien berkata penipuan “phone scam” ke atas mangsa bermula dengan panggilan oleh suspek kononnya dari syarikat insurans.
SATU TUNTUTAN PALSU
“Suspek mendakwa mangsa telah membuat satu tuntutan palsu bagi menuntut pembayaran insurans di atas kematian isterinya,” kata Hadzrat Hussien dalam kenyataan media.
Semasa berlangsungnya panggilan tersebut juga, mangsa kemudiannya disambungkan pula kepada satu pihak lagi yang menyamar sebagai polis.
Tujuannya bagi membuat semakan rekod jenayah di mana mangsa telah dimaklumkan terlibat dengan kegiatan penggubahan wang haram dan pengedaran dadah.
MEMBUAT BEBERAPA TRANSAKSI
Akibat terpedaya dengan dakwaan tersebut, mangsa telah membuat beberapa transaksi secara atas talian ke beberapa akaun Mule yang diberikan oleh suspek antara 7 Oktober 2025 hingga 4 Disember 2025 dengan jumlah keseluruhan RM306,824.94.
Mangsa percaya wang tersebut akan disimpan bagi tujuan pengauditan dan akan dipulangkan selepas siasatan selesai oleh Jabatan Audit Negara.
Bagaimanapun mangsa kemudiannya membuat semakan dengan menghubungi kenalan rapat yang bekerja dalam sektor perundangan bagi mengesahkan kejadian tersebut dan akhirnya dimaklumkan bahawa ia adalah “phone scam”.
Polis pula menyiasat kes ini dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih sepuluh tahun, dengan sebatan dan juga denda. – JM
