Sektor penerbangan Malaysia melonjak ke kemuncak baharu pada 2025, pencarian MH370 disambung 30 Dis

15 Disember 2025

Ketika 2025 hampir melabuhkan tirai yang sarat membawa pelbagai peristiwa penting dalam sektor penerbangan, berita mengenai usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang akan disambung semula pada 30 Disember ini dijangka mencuri tumpuan pada 2026.

Usaha baharu untuk mencari pesawat Boeing 777 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu mungkin dapat menyelesaikan misteri penerbangan terbesar ini apabila ia hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 dalam penerbangan rutin dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Turut mewarnai sektor penerbangan Malaysia pada tahun ini adalah permintaan penumpang yang kian meningkat, pengembangan kumpulan pesawat oleh kedua-dua syarikat penerbangan utama Malaysian Aviation Group (MAG) dan AirAsia, serta penambahan pelbagai laluan baharu, terutama dari syarikat penerbangan China ke Kuala Lumpur.

Malaysia Airlines antaranya menyambung semula penerbangan ke Paris pada Mac dan ke Brisbane pada November lepas, dan British Airways kembali terbang dari London ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas berehat selama lima tahun.

AirAsia pula mula menambah penerbangan ke Istanbul manakala banyak syarikat penerbangan China memulakan penerbangan ke Malaysia.

Petikan berita BERNAMA

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *