CSAM MAKIN MEMBIMBANGKAN:SEKATAN AKAUN MEDIA SOSIAL BAWAH 16 TAHUN, LANGKAH MALAYSIA SELARAS TREND GLOBAL

Masyarakat perlu dididik dengan kempen internet selamat – Nurul Syasya Mohd Ridwan Goh
Unicef menyeru tanggungjawab platform yang lebih kukuh termasuk reka bentuk produk yang selamat – Sanja Saranovic
Kita sepatutnya mula mengajar kanak-kanak tentang keselamatan digital seawal peringkat prasekolah – Datin Wong Poi Hong.
Perlindungan kanak-kanak dalam ruang digital tidak boleh lagi bergantung kepada reaksi dan tindak balas selepas kejadian – Foto hiasan.

Oleh: Helmi Mohd Foud

15 Disember 2025

Peningkatan mendadak kes bahan penderaan seksual kanak-kanak (child sexual abuse material – CSAM) membuktikan bahawa perlindungan kanak-kanak dalam ruang digital tidak boleh lagi hanya bergantung kepada reaksi dan tindak balas selepas kejadian berlaku.

Sebaliknya, perlindungan perlu bermula sebelum insiden berlaku dengan pakar kanak-kanak menyatakan sekatan kanak-kanak memiliki akaun media sosial sebagai mekanisme pencegahan asas.

Pakar psikologi klinikal dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nurul Syasya Mohd Ridzwan Goh berkata, masyarakat perlu dididik dengan kempen Internet selamat supaya mereka memahami kesan CSAM di media sosial

“Mereka juga perlu faham yang berkongsi gambar itu adalah berkongsi data peribadi seseorang. Ini juga termasuk apa yang boleh atau tidak boleh digunakan dalam dunia digital itu misalnya pornografi.

“Inisiatif itu dapat mengisi jurang pengetahuan tentang literasi digital sebab kita tahu ramai dalam kalangan masyarakat masih tidak tahu bahawa walaupun anak sendiri yang berkongsi gambar tidak sepatutnya, itu juga dianggap sebagai CSAM,” katanya dalam satu laporan.

Nurul Syasya berkata, CSAM melibatkan pelbagai bentuk bahan seperti lukisan, animasi, imej, gambar serta video yang dimanipulasi bagi menyerupai wajah kanak-kanak dan memaparkan perlakuan seksual terhadap mereka untuk dieksploitasi.

Data terbaru daripada Internet Watch Foundation (IWF) menunjukkan Malaysia merekodkan 12,656 laporan CSAM antara Januari hingga Jun 2025, bersamaan 78% daripada jumlah keseluruhan laporan 2024.

Tahun sebelumnya mencatat 16,238 laporan, meningkat 225% berbanding 2023.

Lebih membimbangkan, majoriti kes melibatkan kanak-kanak berusia 7 hingga 13 tahun sekali gus menunjukkan bahawa pendedahan berlaku jauh sebelum usia matang digital.

CSAM kini diedarkan melalui kumpulan tertutup, akaun tanpa nama, sistem pembayaran tanpa tunai dan rangkaian gelap internet.

31 TANGKAPAN DAN 880,000 FAIL CSAM DIRAMPAS

Operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pada September 2025 membuktikan skala sebenar ancaman apabila 31 tangkapan dilakukan dengan lebih 880,000 fail CSAM dirampas.

Siasatan pihak berkuasa turut mengesahkan penglibatan golongan muda, satu tanda pendedahan awal yang kritikal.

MEKANISME PENCEGAHAN ASAS

Justeru itu, cadangan kerajaan untuk menyekat kanak-kanak bawah 16 tahun daripada memiliki akaun media sosial bukan langkah melampau sebaliknya satu bentuk mekanisme pencegahan asas.

Pengarah Childline Foundation Datin Wong Poi Hong, menyatakan pihaknya yang bekerjasama bersama IWF sejak 2020 mendapati intervensi keselamatan digital semasa hanya menyasarkan pelajar sekolah menengah adalah “terlalu lewat”.

“Kita sepatutnya mula mengajar kanak-kanak tentang keselamatan digital seawal peringkat prasekolah. Pada usia itu, mereka mesti sudah faham apa yang sesuai untuk dikongsi dalam talian, apa yang bersifat peribadi, dan bagaimana mengenal pasti tingkah laku yang tidak selamat,” katanya dipetik dari laporan The Star.

Beliau menambah ibu bapa memainkan peranan penting kerana ramai kanak-kanak menghabiskan masa berjam-jam menggunakan peranti digital tanpa pengawasan.

“Ibu bapa sering menggunakan peranti untuk memastikan kanak-kanak sibuk. Apabila kanak-kanak keseorangan atau tidak diawasi, mereka akan mencari kawan dalam talian dan di situlah risiko bermula,” katanya.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) pula menegaskan sekatan umur sahaja tidak mencukupi untuk melindungi kanak-kanak daripada risiko dalam talian.

Sebaliknya, kata pertubuhan dunia itu, pendekatan keselamatan digital lebih menyeluruh berasaskan hak perlu diterapkan.

KELUARGA KINI TERBEBAN

Wakil Timbalan Unicef Malaysia, Sanja Saranovic dalam kenyataan semalam berkata walaupun Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 dan usaha kerajaan untuk memastikan platform teknologi bertanggungjawab menangani bahan CSAM dialu-alukan, sekatan umur tidak boleh berdiri sendiri.

“Keluarga kini terbeban. Kanak-kanak menghadapi buli, pengantunan dan eksploitasi seksual dalam talian dan status quo jelas gagal melindungi mereka.

“Tetapi hanya dengan melarang pengguna muda daripada media sosial tidak akan menyelesaikan masalah. Ramai masih akan mencari cara untuk mengakses dalam talian, selalunya melalui platform yang kurang dikawal, di mana perlindungan lebih sukar dan mereka juga kurang cenderung untuk mendapatkan bantuan apabila sesuatu berlaku.”

Saranovic menekankan bahawa platform digital penting untuk ramai kanak-kanak termasuk mereka yang terasing atau mempunyai kecacatan, sebagai ruang pembelajaran, berhubung dan mengekspresikan diri.

Beliau berkata, mana-mana langkah keselamatan perlu menyeimbangkan perlindungan dengan hak kanak-kanak terhadap maklumat, penyertaan dan privasi.

“Unicef menyeru tanggungjawab platform yang lebih kukuh termasuk reka bentuk produk yang selamat, sistem pengesanan CSAM, pengawalan kandungan yang berkesan dan alat laporan mesra kanak-kanak.

“Kami juga menggesa platform menggunakan reka bentuk yang bersesuaian dengan umur dan bukannya bergantung semata-mata kepada larangan serta menggunakan alat pengesahan umur berasaskan bukti dan yang melindungi privasi,” ujar Saranovic.

AUSTRALIA AMBIL LANGKAH MENGHARAMKAN PENGGUNA MEDIA SOSIAL BAGI KANAK-KANAK BAWAH 16 TAHUN

Dalam menangani CSAM, Malaysia bukan bersendirian sebaliknya beberapa negara telah atau sedang melaksanakan polisi had umur minimum antaranya Australia mengambil langkah mengharamkan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun mulai Disember lalu dengan tanggungjawab penguatkuasaan diletakkan ke atas platform.

Perancis, Jerman dan Itali pula mengenakan kawalan umur ketat termasuk kebenaran ibu bapa untuk pengguna bawah umur manakala China menyediakan sistem akaun kanak-kanak dengan had masa dan kandungan.

Menurut laporan Reuters, Kesatuan Eropah pula mengehadkan umur minimum digital 13 tahun dan cadangan 16 tahun bagi pengalaman dalam talian selamat.

Trend ini menunjukkan akses awal kini dilihat sebagai risiko dan bukan hak mutlak dengan penyedia platform berfungsi sebagai penjaga pintu terakhir.

Kelajuan pengesanan dapat menentukan sama ada terdapat CSAM atau ia telah tersebar dengan penguatkuasaan secara konsisten dapat menentukan sama ada ia hilang atau berulang.

Akauntabiliti dalam platfrom atau penyedia perkhidmatan dapat menentukan sama ada sistem mereka melindungi atau membiarkan eksploitasi berterusan. Oleh itu, perlindungan kanak-kanak memerlukan lapisan keselamatan bersepadu dengan kawalan akses awal iaitu mengehadkan umur 16 tahun dilaksanakan.

Selain itu, peranan ibu bapa di rumah yang memberikan pendidikan kepada kanak-kanak tentang penggunakan perkakas digital dan media sosial selain melakukan pemantauan.

Kesimpulannya, cadangan kerajaan untuk menyekat kanak-kanak bawah 16 tahun daripada memiliki akaun media sosial bukan sekadar polisi domestik.

Ia selari dengan trend global, disokong pakar, pertubuhan bukan kerajaan dan akademik selain ia direka sebagai garis pertahanan awal bagi melindungi kanak-kanak daripada pendedahan kepada kandungan berbahaya, buli siber dan eksploitasi seksual.

Dengan data meningkatnya kes CSAM, penglibatan kanak-kanak lebih muda dan penyebaran bahan melalui rangkaian tersembunyi membuktikan akses tanpa kawalan bukan kebebasan tetapi satu bentuk risiko.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *