


Oleh: Sholina Osman
15 DIS. 2025
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik inisiatif Peruntukan Deeming atau “Deemed Licence” oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini sebagai langkah awal memperkukuh tadbir urus platform digital dan meningkatkan keselamatan dalam talian di Malaysia.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata ekosistem digital masa kini menuntut pendekatan pengawalseliaan yang lebih responsif terhadap ancaman seperti jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak, penipuan dalam talian, penyebaran kandungan esktremisme, serta penyalahgunaan platform digital untuk aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen bersama untuk melindungi anak bangsa Malaysia dan memastikan mereka selamat dalam persekitaran siber masa hadapan,” kata beliau dalam kenyataan media.
TERUS BEKERJASAMA RAPAT
Beliau berkata PDRM akan terus bekerjasama rapat dengan MCMC dan agensi lain melalui pendekatan “Whole-Of-Government” bagi memastikan mekanisme baharu yang sedang dimuktamadkan dapat meningkatkan keberkesanan siasatan, memperkukuh perkongsian maklumat serta mempercepatkan tindakan terhadap kandungan atau aktiviti berbahaya di ruang digital.
Justeru kata beliau PDRM akan kekal komited melaksanakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang semasa dan meningkatkan kesiapsiagaan dalaman bagi memastikan kerangka keselamatan digital yang bakal diperkenalkan dapat disokong dengan berkesan.
“PDRM yakin bahawa pelaksanaan rangka kerja baharu ini akan meningkatkan perlindungan kepada rakyat, memantapkan integriti ruang digital negara dan memperkukuhkan kerjasama antara kerajaan serta penyedia platform digital,” tambah beliau.
Jelas Mohd Khalid angkah ini turut menjadi asas penting dalam memastikan keselamatan generasi masa hadapan terutama kanak-kanak dan keluarg terjamin dalam landskap siber yang semakin mencabar. – JM
