



LATAR BELAKANG
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) terhadap penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berskala besar yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia.
Melalui peruntukan ini, penyedia perkhidmatan yang tertakluk kepada Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) akan disifatkan berdaftar secara automatik, tanpa keperluan melalui proses pendaftaran formal.
MESEJ UTAMA
Internet lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga.
APA YANG DILAKUKAN
• Penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berskala besar akan disifatkan berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C).
• Pelaksanaan ini melibatkan platform yang memenuhi kriteria ditetapkan, termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.
• Langkah ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
MENGAPA IA DILAKSANAKAN
• Untuk memastikan semua platform berskala besar beroperasi dalam kerangka perundangan dan kawal selia Malaysia secara teratur, konsisten dan berkesan.
• Untuk menutup jurang pengawalseliaan, khususnya terhadap penyedia perkhidmatan yang beroperasi dari luar negara.
• Untuk mengukuhkan akauntabiliti platform dan pematuhan terhadap undang-undang Malaysia.
• Untuk memastikan platform memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga.
APA KESANNYA KEPADA PENGGUNA
• Platform tertakluk kepada obligasi undang-undang Malaysia, sama seperti penyedia perkhidmatan lain.
• Keselamatan dalam talian diperkukuh melalui tanggungjawab platform yang lebih jelas dan boleh dikuatkuasakan.
• Pengguna, terutamanya kanak-kanak dan keluarga, mendapat perlindungan yang lebih baik daripada risiko dalam talian.
PENJELASAN PENTING
• Platform akan terus beroperasi seperti biasa melalui platform global masing-masing.
• Tiada kewajipan membuka pejabat fizikal di Malaysia, namun penyedia perkhidmatan asing perlu melantik wakil tempatan bagi tujuan pematuhan.
• Penyedia perkhidmatan yang telah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) akan kekal berdaftar sehingga tempoh pendaftaran sedia ada tamat.
PENDEKATAN ANTARABANGSA
Pelaksanaan Peruntukan Deeming ini adalah selari dengan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar, khususnya bagi memastikan akauntabiliti dan keselamatan pengguna. – JM
