






Oleh: Sholina Osman
18 DIS. 2025
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kini dalam peringkat akhir memuktamadkan Dasar Pembangunan Industri Jagung Bijian Negara.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata dengan pendekatan baharu ini akan melibatkan seluruh rantaian nilai, termasuk penyediaan kawasan penanaman, pemerkasaan infrastruktur dan mekanisasi, peningkatan produktiviti ladang, jaminan pasaran serta sokongan logistik dan pemprosesan.
“Kerajaan kekal komited untuk membangunkan industri jagung bijian secara tersusun dan berdaya saing demi kestabilan industri ternakan serta kawalan harga ayam sebagai insiatif strategik memperkukuh keterjaminan makanan negara,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.
PERSIDANGAN JAGUNG BIJIAN
Terdahulu Mohamad telah menyempurnakan perasmian Persidangan Jagung Bijian Kebangsaan Tahun 2025 di Raia Hotel & Convention Centre, Alor Setar
Ia anjuran KPKM menerusi Jabatan Pertanian (DOA) dan Persatuan Pengeluar Jagung Bijian Malaysia (MGCPA) buat julung kalinya diadakan.
Mohamad berkata persidangan ini dijangka menjadi platform strategik dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara pembuat dasar, pemain industri serta pemegang taruh utama dan mencerminkan pendekatan kolaboratif yang erat antara Kerajaan dan industri dalam merangka hala tuju pembangunan industri jagung bijian secara lebih strategik dan inklusif.
“Persidangan ini telah menghimpunkan kehadiran kira-kira seramai 300 peserta dari kalangan penggubal dasar, para petani, pemain industri jagung bijian, persatuan penternak ruminan dan pengilang makanan ternakan di Malaysia,” kata beliau.
MERUPAKAN KOMODITI STRATEGIK
Beliau berkata jagung bijian merupakan komoditi strategik dan bahan utama dalam makanan ternakan ayam.
“Malaysia masih bergantung sepenuhnya kepada import di mana ketika ini mengimport sebanyak purata 2.5 juta tan metrik jagung bijian setahun bermula 2010 hingga 2024 dengan nilai import melebihi RM3 bilion setiap tahun,” kata beliau.
Jelas Mohamad kebergantungan ini mendedahkan negara kepada risiko turun naik harga global serta gangguan rantaian bekalan yang akhirnya memberi kesan kepada kestabilan harga ayam dan keperluan subsidi Kerajaan.
PENANAMAN SERTA PENGELUARAN
Beliau berkata КРКМ komited dan akan terus meneliti usaha yang mampan dan berkesan untuk mempertingkatkan penanaman serta pengeluaran hasil komoditi tersebut dengan sasaran keluasan kawasan bertanam sebanyak 15,000 hektar sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 dengan produktiviti hasil sehingga 6 tan metrik per hektar menjelang tahun 2030.
Dalam jangka panjang, beliau berkata semua pihak telah memberi komitmen untuk memastikan visi pengurangan import komoditi jagung bijian negara kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang tahun 2040.
Terdahulu, kata beliau KPKM telah mengambil langkah proaktif dengan memperluas pembangunan industri jagung bijian negara melalui penglibatan pemain industri berskala besar.
“Inisiatif ini dizahirkan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama syarikat-syarikat utama, iaitu FGV Integrated Farming Holdings Sdn. Bhd. dan Genting Plantations Berhad pada 19 September 2024,” tambah beliau.
Tambah beliau hasil daripada usaha bersepadu ini, sebanyak 15 syarikat swasta lain dikenal pasti berpotensi untuk menyertai inisiatif tersebut secara berperingkat dalam membangunkan industri jagung bijian negara secara komersial. – JM
