


PUCHONG, 22 Disember – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) hari ini secara rasmi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi tempoh tiga tahun (2025 – 2028).
Majlis yang berlangsung di pejabat MFD, Bandar Puchong Jaya ini telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail bersama Presiden MFD, Norhisham Aluwi.
Kesinambungan kerjasama berimpak ini merupakan fasa kedua selepas kejayaan MoU pertama (2022–2025). Sepanjang tempoh tersebut, SPRM dan MFD telah berjaya melaksanakan program kesedaran antirasuah khusus untuk komuniti orang pekak di Zon Utara dan Zon Selatan, serta penglibatan Jurubahasa Isyarat dalam pelbagai acara penting SPRM bagi memastikan akses maklumat yang saksama.
Turut hadir menyaksikan majlis ini ialah wakil Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, PPj Hong Chin Chin; Penasihat MFD, Mohamad Sazali Shaari; dan Presiden Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MyAsli), Wan Zuraidah Abu.
