Bantuan SARA RM100 akan dikreditkan 9 Februari depan – PMX

Oleh: Sholina Osman
5 JAN. 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Bantuan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas akan dikreditkan pada 9 Februari depan.

Beliau berkata bantuan ini akan melibatkan 22 juta rakyat Malaysia.

“Diharap SARA ini akan digunakan bagi melakukan persiapan menyambut ketibaan Ramadan serta Tahun Baharu Cina,” kata Anwar ketika berucap pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan SARA untuk penerima miskin tegar akan dikreditkan pada 9 Januari manakala Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa satu yang berjumlah sehingga RM500 akan dikreditkan pada 20 Januari ini.

MEMPERLUAS PENDAFTARAN BAHARU

“Pada tahun ini, kerajaan akan memperluas pendaftaran baharu program SARA kepada peniaga kecil termasuk kedai runcit bagi menangani isu masih terdapat penduduk
kampung yang belum berdaftar dalam sistem sedia ada,” tambah beliau.

Beliau berkata sasaran yang ditetapkan membabitkan 10,000 peniaga kecil dalam program
SARA sekali gus memperluas manfaat bantuan itu di peringkat akar umbi.

Beliau berkata Program Jualan Rahmah MADANI akan bermula pada 9 Januari ini dan dilaksana tiga kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jelas beliau secara keseluruhan, lebih 23,000 Jualan Rahmah MADANI akan diadakan, yang merangkumi 600 DUN dan 40 lokasi di Wilayah Persekutuan, bagi memastikan barangan asas dijual pada kadar lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.

Selain itu, Perdana Menteri berkata sebanyak 5,000 Jualan Agro MADANI turut dilaksana dengan penjimatan harga antara 10 hingga 30 peratus bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *