
Wartawan JM
5 JAN. 2026
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyambut baik pengumuman peruntukan berjumlah RM15 juta bagi pelaksanaan Bank Makanan Dapur Siswa oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang diumumkan oleh Perdana Menteri hari ini, sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh kebajikan pelajar institusi pendidikan tinggi di seluruh negara.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Profesor Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah menyifatkan inisiatif tersebut sebagai pendekatan proaktif kerajaan dalam menangani cabaran kos sara hidup yang dihadapi mahasiswa masa kini.
“Pengumuman inisiatif Dapur Siswa KPT ini amat bertepatan pada masanya dan mencerminkan keprihatinan serius kerajaan terhadap kebajikan pelajar, khususnya dalam memastikan keperluan asas seperti makanan sentiasa terjamin,” katanya.
LEBIH AWAL MELAKSANAKAN
Menurut beliau, UniMAP sememangnya telah lebih awal melaksanakan inisiatif seiring dengan aspirasi Dapur Siswa KPT menerusi pelaksanaan Food Kitchen UniMAP, yang menyediakan bantuan makanan berterusan kepada pelajar yang memerlukan.
“Sehingga tahun 2025, UniMAP telah berjaya melaksanakan agihan Food Kitchen UniMAP di enam lokasi sekitar kawasan kampus dan kolej kediaman yang memberi manfaat kepada lebih 3,000 orang pelajar.
“Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan universiti dalam menjaga kebajikan warga pelajarnya,” jelas beliau.
SEBAGAI SOKONGAN MORAL
Selain bantuan makanan asas, UniMAP turut melaksanakan program Coffee to Go sempena minggu peperiksaan sebagai sokongan moral kepada pelajar, khususnya dalam mengurus tekanan akademik dan kesejahteraan emosi.
“Program Coffee to Go yang memberi manfaat kepada lebih 6,000 pelajar bukan sekadar inisiatif kebajikan, tetapi simbol sokongan moral universiti kepada pelajar.
“Ini bagi memastikan mereka berasa dihargai dan tidak keseorangan ketika berdepan cabaran akademik,” katanya.
PELBAGAI INISIATIF KEBAJIKAN
Ujarnya lagi, bagi tahun 2025, UniMAP telah memperuntukkan lebih RM1.2 juta khusus bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan dan kesihatan pelajar, merangkumi bantuan makanan; sokongan kesihatan fizikal dan mental; serta program pembangunan kesejahteraan pelajar secara holistik.
Dalam pada itu, Prof. Dr. Mohd Mustafa turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan Tinggi atas pengenalan inisiatif Dapur Siswa KPT yang disifatkan mampu memberi impak besar berpanjangan kepada kesejahteraan komuniti mahasiswa di seluruh negara. – JM
