



Oleh: Sholina Osman
6 JAN. 2026
Pelaksanaan End-to-End (E2E) di seluruh agensi Kerajaan telah mencapai 80 peratus sehingga tahun 2025.
Kenyataan media Kementerian Digital memaklumkan sekali gus ia mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh
penyampaian perkhidmatan digital.
“Jabatan Digital Negara (JDN), Kementerian Digital sentiasa memantau pelaksanaan E2E di semua agensi kerajaan bagi memastikan tahap kecekapan,
keberkesanan, serta pematuhan kepada piawaian pendigitalan yang ditetapkan,” kata kenyataan itu.
PERKHIDMATAN DIGITAL NEGARA
Sehubungan itu Kementerian Digital menyambut baik saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Ucapan Amanat Tahun Baharu 2026 pada 5 Januari lalu, di mana usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan digital negara, khususnya dengan memastikan sistem kerajaan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam E2E.
Kerajaan juga menyasarkan 95 peratus perkhidmatan kerajaan persekutuan dilaksanakan secara dalam talian menjelang 2030.
Selain itu, kerajaan juga menyasarkan 100 peratus data persekutuan didigitalkan berdasarkan pendekatan Whole-of-Government, sebagai langkah strategik untuk
memperkukuh transformasi digital negara dan meningkatkan kecekapan serta kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
DOKUMEN RANCANGAN PENDIGITALAN
JDN juga sedang membangunkan dokumen Rancangan Pendigitalan Sektor Awam 2026 hingga 2030 yang akan siap pada pertengahan Januari 2026 untuk mempergiat lagi usaha pendigitalan kerajaan di semua peringkat termasuk kerajaan Persekutuan, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Ini termasuk penambahbaikan sistem
sedia ada, pemerkasaan penggunaan teknologi baharu, pembangunan modal insan digital dan peningkatan kerjasama strategik antara agensi dalam memastikan transformasi digital sektor awam dapat dilaksanakan secara menyeluruh, bersepadu dan berimpak tinggi kepada rakyat.
Kementerian Digital sentiasa memastikan pemanfaatan teknologi AI oleh agensi-agensi Kerajaan dijalankan secara terancang dan beretika.
DIPERKENAL SEBAGAI PLATFORM
Sehubungan itu, inisiatif AI@Work telah diperkenalkan sebagai platform untuk memperkukuh penggunaan AI
dalam operasi harian sektor awam, khususnya bagi meningkatkan kecekapan kerja, produktiviti, serta kualiti penyampaian perkhidmatan.
Dari Mac hingga November
2025, penggunaan teknologi AI di bawah inisiatif AI@Work mencatat peningkatan sebanyak 10 peratus secara bulanan.
Sehingga Disember 2025, seramai 373,346 orang penjawat awam telah aktif menggunakan teknologi AI ini dan menikmati manfaatnya,
termasuk peningkatan kecekapan penyediaan dokumen, pengurangan masa menyiapkan tugasan rutin, serta sokongan dalam membuat keputusan yang lebih informatif.
Usaha ini akan terus diperkasakan pada tahun 2026 secara berterusan, selaras dengan agenda transformasi digital kerajaan dan menyokong aspirasi kerajaan untuk
perkhidmatan tanpa kertas, bagi memastikan teknologi AI dapat meningkatkan prestasi kerja, produktiviti, dan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
Secara keseluruhan, Kementerian Digital kekal komited untuk memperkukuh agenda
pendigitalan sektor awam melalui pelaksanaan sistem yang menyeluruh, bersepadu dan berorientasikan hasil. – JM
