




Putrajaya | 7 Januari 2026
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) meneruskan komitmen memperkasa sistem perburuhan negara menerusi Lawatan Kerja Rasmi YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia, bersama YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Sumber Manusia ke Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) hari ini.
Lawatan ini memberi tumpuan kepada pelaksanaan inisiatif strategik berimpak tinggi selari aspirasi Kerajaan MADANI, khususnya teras Tadbir Urus Baik, Kesejahteraan, Inovasi dan Keberdayaan.
Antara fokus utama ialah pelaksanaan Mobile Labour Court bagi memperluas akses keadilan perburuhan kepada pekerja dan majikan, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
JTKSM turut melaksanakan Sistem Perekodan Digital (SPD) di Mahkamah Buruh yang dijangka beroperasi di enam lokasi strategik pada 2026 bagi mempercepat prosiding serta meningkatkan ketelusan dan pengurusan kes.
Seiring agenda pendigitalan, Sistem Pengurusan Perburuhan Bersepadu (SPPB) akan dibangunkan menggunakan teknologi AI, analisis data dan automasi bagi memperkukuh operasi jabatan serta menyokong kemudahan menjalankan perniagaan.
JTKSM juga mempergiat Program Pendidikan Perburuhan bagi meningkatkan kefahaman hak dan tanggungjawab pihak berkepentingan serta memperkukuh keharmonian hubungan perusahaan.
Secara keseluruhan, lawatan ini mencerminkan komitmen KESUMA membina sistem perburuhan yang lebih moden, cekap dan berorientasikan rakyat, sejajar aspirasi Malaysia MADANI.
