Syarikat-syarikat Türkiye dipelawa memperluas serta meningkatkan pelaburan di Malaysia – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
9 JAN. 2026

Syarikat-syarikat Türkiye dipelawa untuk memperluas serta meningkatkan pelaburan di Malaysia dengan memanfaatkan ekosistem pelaburan yang stabil, tenaga kerja berkemahiran serta kedudukan strategik negara sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan MADANI akan memudah cara urusan perniagaan melalui proses yang lebih cekap, telus dan mesra pelabur.

“Ia demi memastikan setiap pelaburan yang direalisasikan memberi nilai tambah, limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan yang berkualiti kepada rakyat kedua-dua negara,” kata beliau dalam perkongsian di FB.

MESYUARAT MEJA BULAT

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Mesyuarat Meja Bulat bersama Pimpinan Industri Perniagaan Republik Türkiye bagi meneruskan misi Diplomasi MADANI ke Istanbul.

Beliau berkata mesyuarat ini menghimpunkan 46 syarikat Türkiye dan Malaysia meliputi pelbagai sektor antaranya pertahanan dan aeroangkasa, semikonduktor dan elektronik, automotif dan kenderaan elektrik, oleokimia dan industri halal.

Beliau berkata kerjasama erat antara syarikat-syarikat Malaysia dan Türkiye menjadi pemangkin kepada kepesatan perdagangan, pelaburan serta pemindahan teknologi, sekali gus memperkukuh asas pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *