


SEMPORNA : 9 JAN 2026 (Jumaat) β Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan (8) bulan oleh Mahkamah Seksyen Tawau selepas disabitkan atas kesalahan memiliki 2,250 liter minyak petrol tanpa kebenaran sah di perairan Kampung Tanjung Baru, Pulau Bum-Bum, di sini.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman yang setimpal ke atas Nadzmer Abd Hamid, 29, pemegang dokumen IMM13P dan Isa Sabi, 45, warga Filipina, tanpa dokumen pengenalan diri, selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 30 Disember lalu dan selepas tamat menjalani hukuman, kedua-dua tertuduh diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki tersebut didakwa melakukan kesalahan pada jam kira-kira 9.30 malam di perairan Kampung Tanjung Baru, Pulau Bum-Bum, apabila didapati ada dalam pemilikan mereka minyak petrol sebanyak 2,250 liter tanpa lesen atau kebenaran sah daripada Pengawal Bekalan.
Kes disiasat di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga (3) tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) Cawangan Semporna, Zulkifli Baco, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tangkapan dibuat oleh Balai Polis Pulau Bum-Bum hasil maklumat risikan sebelum kes diserahkan kepada KPDNKSH Semporna untuk tindakan lanjut.
Mahkamah turut memerintahkan minyak petrol yang dirampas dijual dan dijadikan hasil kerajaan, manakala sebuah bot laju, enjin sangkut serta 50 liter petrol bercampur minyak 2T dilucuthakkan kepada KPDNKSH.
Superintenden Tan Hiap Wah, Ketua Polis Daerah Semporna menegaskan Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna bekerjasama dengan KPDNKSH untuk terus membanteras penyeludupan barangan kawalan dan subsidi serta tidak akan berkompromi dalam jenayah penyeludupan sebagai usaha berterusan untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman perairan Semporna.
Sumber : Sabah Dimensi
