




Laporan oleh Sholina Osman dari Krabi, Thailan
24 JAN. 2026
Penubuhan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) bukan sekadar untuk melaksanakan latihan atau program jangka pendek semata, tetapi sebagai sebuah institusi strategik terbaik yang berperanan mentransformasikan asnaf daripada bersifat ‘kebergantungan’ kepada sifat ‘keupayaan’ , iaitu daripada menjadi ‘penerima’ kepada seorang ‘penyumbang’.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah hala tuju yang digariskan hendaklah jelas, berfokus dan berpaksikan impak sebenar kepada kehidupan asnaf.
Baginda bertitah bagi merangka perancangan untuk lima tahun akan datang ini, ingin saya menasihatkan agar ATAM memberikan penekanan
serius terhadap pembangunan modal insan secara menyeluruh.
RELEVAN DENGAN KEPERLUAN
“Program yang dilaksanakan perlulah relevan dengan keperluan semasa, berasaskan kemahiran sebenar, keusahawanan, kebolehpasaran kerja, serta literasi kewangan dan juga digital,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian pada Mesyuarat Khas: Ahli Lembaga Pengarah ATAM Hala Tuju 2026-2030 Bilik Mesyuarat Hotel Grand Mercure Aonang, Krabi, Thailand.
Raja Muda selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengetuai delegasi Jelajah Ziarah Mahabbah MAIPs bersama Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) Sdn Bhd ke Wilayah Andaman Thailand di Krabi dari 23 hingga 25 Januari.
Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengurus Besar ATAM Sdn Bhd Muhammad Farid Abdul Rahim.
PROGRAM PERLU DIUKUR
Raja Muda bertitah pada masa yang sama, setiap program perlu diukur berdasarkan hasil dan impak, bukan sekadar bilangan penyertaan atau perbelanjaan.
Baginda bertitah data, analisis dan maklum balas perlu dimanfaatkan bagi menambah baik pendekatan sedia ada dan memastikan dana yang disalurkan dapat diuruskan dengan baik, amanah, telus dan berkesan.
“Saya sekali lagi menyeru semua Ahli Lembaga Pengarah agar bersama-sama memikul amanah ini dengan
penuh tanggungjawab dan berteraskan visi yang jelas,” titah Baginda.
Baginda berharap hala tuju ATAM 2026–2030 yang dirangka ini akan melahirkan lebih ramai asnaf yang berjaya, berdikari dan kembali memberikan manfaat kepada masyarakat serta negeri Perlis tercinta ini. – JM
