





Laporan oleh Sholina Osman dari Krabi, Thailand
24 JAN. 2026
Perlis telah menjenamakan dirinya sebagai destinasi popular makanan bajet.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah strategi harga yang sangat rendah bagi hidangan tempatan bertujuan menarik pelancong dari Thailand dan juga domestik untuk memilih Perlis sebagai alternatif utama sebelum atau selepas menyeberangi sempadan.
Baginda bertitah walaupun mempunyai pengaruh jiran, Perlis mengekalkan resipi tradisional Melayu Utara yang pekat dengan penggunaan rempah ratus tempatan.
Titah Baginda masakan seperti “Gulai Batang Pisang” dan masakan berasaskan ikan darat memberikan pengalaman rasa yang jarang ditemui di restoran-restoran di selatan Thailand.
SERING MERASA SELAMAT
“Pelancong Muslim sering merasa selamat dan selesa menikmati hidangan di Perlis kerana piawaian pensijilan halal Malaysia yang ketat dan menyeluruh, meliputi setiap rantaian bekalan makanan,” titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah Perlis juga berjaya mengadunkan elemen masakan Thai ke dalam citarasa tempatan dengan cara yang unik.
“Ini mewujudkan satu kategori “masakan sempadan” yang menawarkan keseimbangan antara pedas, masam, dan berlemak mengikut selera rakyat Malaysia,” titah Baginda.
MELANCARKAN “KURMA DAGING”
Sebelum itu Baginda melancarkan “Kurma Daging” sempena Promosi Makanan Perlis di Hotel Grand Mecure, Krabi, Thailand.
Hadir sama Pengurus Besar Hotel Grand Mecure David Coyle dan Chef Eksekutifnya Arun Singmanee.
Sementara itu Raja Muda selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengetuai delegasi Jelajah Ziarah Mahabbah MAIPs bersama Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) Sdn Bhd ke Wilayah Andaman Thailand di Krabi dari 23 hingga 25 Januari.
Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor. – JM
