CSR HASiL bersama MAIPs sebagai komitmen berterusan jaga kebajikan rakyat

Oleh: Sholina Osman
6 FEB. 2026

Komitmen berterusan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan terus dizahirkan menerusi pelaksanaan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) HASiL Prihatin Tahun 2026 bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) HASiL, Shaharrudy Othman, inisiatif berkenaan selaras dengan peranan HASiL sebagai agensi pemungut cukai langsung negara yang bukan sahaja melaksanakan amanah kutipan hasil, malah kekal komited menyantuni golongan masyarakat yang memerlukan melalui pelbagai program berimpak tinggi dan bersasar.

Beliau menjelaskan bahawa penganjuran program tersebut bersama MAIPs mencerminkan komitmen berterusan HASiL dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat, di samping menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat secara inklusif dan mampan.

AKTIVITI KAYUH BASIKAL

Inisiatif kali ini dilaksanakan dengan penganjuran aktiviti kayuhan basikal MAIPs Peduli sebagai pendekatan turun padang bagi menyantuni tiga buah keluarga asnaf di sekitar Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Program berkenaan telah diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sempena program tersebut juga, pihak HASiL turut melaksanakan inisiatif mengecat semula serta menceriakan persekitaran Rumah Penghulu Omar di Kampung Warna-Warni sebagai usaha memulihara khazanah warisan kampung yang bernilai tinggi, di samping mengekalkan identiti serta keunikan kawasan berkenaan.

Usaha ini secara tidak langsung bertujuan memperkukuh kedudukan kampung tersebut sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di Negeri Perlis.

MENYAMPAIKAN SUMBANGAN MAIPs

Menerusi pelaksanaan program ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs berupa wang tunai berjumlah RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah kepada penghuni tiga buah rumah asnaf.

Sementara itu, HASiL turut menyalurkan bantuan tunai dan barangan keperluan asas bagi meringankan beban keluarga terlibat.

Tiga penerima sumbangan bertuah pada edisi kali ini ialah Isma Bahari, 81, Asmizan Ismail, 44 dan Razinah Mat Akib, 82, yang kesemuanya merupakan penduduk Kampung Tengah, Seberang Ramai. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *