




Wartawan JM
7 FEB. 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menghadiri sesi pratonton khas filem epik sejarah dari India, Taj Mahal: An Eternal Love Story di GSC 10I City Mall malam tadi.
Tayangan khas ini menjadi prelude kepada pelancaran komersial global pertama filem berkenaan, sekali gus menandakan permulaan jelajah antarabangsa Taj Mahal.
Jelas beliau selepas lebih dua dekad, filem ini kembali ditayangkan dalam versi yang dipertingkat dengan teknologi terkini namun masih mengekalkan keindahan asalnya sambil memberi pengalaman tontonan yang lebih segar dan mendalam kepada penonton.
BARISAN PELAKON ASAL
“Saya menghargai usaha sahabat saya yang juga pengarah filem ini, Akbar Khan, serta kehadiran barisan pelakon asal yang memaknakan malam bersejarah ini,” kata Anwar dalam perkongsian di FB.
Jelas beliau kisah cinta Shah Jahan dan Mumtaz Mahal terus hidup sebagai lambang pengorbanan, kesetiaan dan keindahan ciptaan insan yang merentas zaman dan peradaban.
“Terima kasih kerana memilih Malaysia sebagai pentas pelancaran global sekali gus menegaskan peranan negara kita sebagai hab budaya dan diplomasi serantau, tempat seni diraikan, dialog diperkukuh dan nilai kemanusiaan dipertaut,” tambah beliau. – JM
