Program UniMAP–MAIPs Peduli 2026 manifestasi kerjasama strategik santuni masyarakat

Oleh: Sholina Osman
Foto: MAIPs
8 FEB. 2026

Program UniMAP–MAIPs Peduli 2026 merupakan manifestasi kerjasama strategik antara Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam usaha menyantuni masyarakat serta memperkukuh nilai kemanusiaan, kesejahteraan, dan kebajikan ummah.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli, berkata, kerjasama ini bukan sekadar menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan, tetapi turut berperanan membina kesedaran sosial serta memupuk budaya prihatin dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga universiti’.

“Program UniMAP–MAIPs Peduli mencerminkan komitmen berterusan UniMAP dalam memainkan peranan sebagai institusi pengajian tinggi yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik dan penyelidikan, malah turut memikul tanggungjawab sosial kepada masyarakat,” jelas beliau.

DALAM BIDANG AKADEMIK

Sebagai universiti teknikal berteraskan kejuruteraan, UniMAP percaya bahawa kecemerlangan dalam bidang akademik, penyelidikan, dan inovasi perlu seiring dengan tanggungjawab sosial.

Prinsip ini menjadi teras kepada aspirasi UniMAP4Society, iaitu membawa ilmu, kepakaran, dan inovasi universiti untuk dimanfaatkan secara langsung oleh masyarakat.

Melalui pelaksanaan Program UniMAP–MAIPs Peduli, warga universiti turun padang mendekati masyarakat, menyantuni golongan yang memerlukan, serta memupuk rasa tanggungjawab, keprihatinan, dan empati dalam usaha membantu mereka yang kurang bernasib baik.

UNIVERSITI DAN KOMUNITI

Program ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti setempat, sekaligus menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih sejahtera, berdaya tahan, dan inklusif.

Demikian ucapan Zaliman sempena Majlis Santapan Malam Program UniMAP–MAIPs Peduli yang diadakan di Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra baru-baru ini.

Majlis menarik berkenaan dengan para hadirin mengenakan pakaian menarik bertemakan ‘kartun’ atau ‘super heroes’ itu diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor, dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, selaku Tuanku Pro Canselor universiti. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *