



11 Feb 2026
Semangat muhibah dan keprihatinan terus dizahirkan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) apabila sebanyak 2,000 bakul makanan diagihkan kepada komuniti setempat sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026.
Siri sumbangan ini melibatkan tiga lokasi utama merentasi daerah Kluang, Pontian dan Johor Bahru, sekali gus memastikan keriangan musim perayaan ini dirasai oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Serahan sumbangan berlangsung semalam (10 Februari) di Taman Sri Aman, Yong Peng bagi menyantuni komuniti Kluang dan Yong Peng.
Sebanyak 1,000 bakul makanan beserta pek limau mandarin diserahkan oleh Encik Shah Reza Md Kanafe, Pengurus kanan, YSIJ kepada YB Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor merangkap ADUN Paloh dan YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor merangkap ADUN Yong Peng sebelum diedarkan kepada penerima sumbangan.
1,000 BAKUL
Pada hari ini (11 Februari), sebanyak 1,000 bakul makanan dan pek limau mandarin diagihkan kepada Komuniti Pekan Nanas dan Pulai.
Sumbangan 500 unit bagi Komuniti Pekan Nanas diserahkan oleh Mohd Anizam Jamian, Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ kepada YB Tan Eng Meng, ADUN Pekan Nanas di Dewan Serbaguna Taman Sri Sentosa.
Sebanyak 500 unit lagi diserahkan oleh Dato’ Avinderjit Singh, Pemegang Amanah Urusan YSIJ diiringi Mohd Anizam kepada Puan Azura Shahira Azahar, Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Masyarakat), Pejabat Daerah Johor Bahru, wakil Rasmi Pegawai Daerah di Dewan Taman Universiti, Johor Bahru.
