PENYERAHAN SIJIL KELAHIRAN DAN MyKid KEPADA LIMA KANAK-KANAK WARGANEGARA MALAYSIA

PETALING JAYA, 12 Februari 2026 – YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri hari ini menyempurnakan penyerahan sijil kelahiran dan MyKid kepada lima orang kanak-kanak warganegara Malaysia dalam satu majlis yang berlangsung di sini.

Penyerahan tersebut melibatkan lima orang anak kepada Puan Noor Syuhada binti Mohamad yang sebelum ini berdepan isu kelewatan pendaftaran kelahiran akibat kekangan keluarga dan kewangan. Hasil tindakan segera Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor susulan maklumat yang diterima, permohonan telah diluluskan oleh Panel Jawatankuasa Daftar Lewat dan dokumen berjaya dikeluarkan pada 10 Februari 2026.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama JPN kekal komited memastikan setiap rakyat memperoleh dokumen pengenalan diri yang sah agar tidak terpinggir daripada akses pendidikan, kesihatan serta peluang masa depan. Kes ini membuktikan bahawa tiada sesiapa yang ditinggalkan dalam arus pembangunan negara.

Majlis ini turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, YBhg. Dato’ Badrul Hisham bin Alias, ketua-ketua jabatan serta wakil agensi berkaitan, selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hadir sebagai rakan strategik dalam membantu menyelesaikan isu dokumentasi rakyat.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *