Bazar Ramadan RAHMAH diperluaskan ke 116 lokasi seluruh negara

Oleh: Sholina Osman
21 FEB. 2026

Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) diperluaskan ke 116 lokasi bazar Ramadan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata ia
termasuk sembilan lokasi di negeri Johor yang mendapat kerjasama strategik pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata bagi Negeri Johor, pelaksanaan BRR 2026 melibatkan Bazar Ramadan Taman Yayasan, Segamat; Taman Wawasan, Mersing; Jalan Mawar, Kota Tinggi; Pesta, Batu Pahat; Laman Simpang Renggam, Kluang; Perling Mall, Johor Bahru; Stadium Mini Pontian; Dewan Jubli Intan, Muar; serta Taman Dahlia, Johor Bahru.

Dr Fuziah berkata peluasan lokasi ini bertujuan memastikan akses Juadah RAHMAH dan pelaksanaan inisiatif di bawah Payung RAHMAH MADANI dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh rakyat di seluruh
Negeri Johor.

MEMPERBANYAKKAN PENYEDIAAN JUADAH

“Peniaga di semua lokasi BRR turut digalakkan memperbanyakkan
penyediaan Juadah RAHMAH merangkumi pelbagai kategori makanan bagi memastikan setiap lapisan pengunjung mempunyai akses kepada pilihan juadah pada harga mampu beli,” kata beliau dalam kenyataan media.

Dr Fauziah berkata selain memastikan akses kepada Juadah RAHMAH pada harga mampu beli, Kerajaan turut menitikberatkan aspek pengurangan pembaziran makanan melalui pelaksanaan inisiatif MySaveFood.

Bagaimanapun kata beliau ia kini dijenamakan semula sebagai Ihsan Food Bank (Inisiatif yang diperkenalkan pada 27 Mac 2023 ini dilaksanakan bagi menyelamatkan lebihan makanan di bazar Ramadan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan melalui kerjasama PBT, pertubuhan sukarelawan dan
komuniti setempat.

PELAKSANAAN INISIATIF INI

Jelas beliau sehingga 2026, pelaksanaan inisiatif ini terus diperkasakan dengan peluasan liputan di lebih banyak lokasi BRR.

“Pada tahun 2025 sahaja, lebih
69,040.7 kilogram makanan bernilai RM833,722 berjaya diselamatkan,
sekali gus mengelakkan pelepasan lebih 129,020 kilogram gas rumah hijau ke atmosfera,” kata Dr Fauziah.

Beliau berkata usaha i ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan di bawah Payung RAHMAH MADANI dalam mengurangkan pembaziran makanan, memperkukuh nilai ihsan dan menyokong kesejahteraan rakyat secara mampan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *