Cubaan seludup ganja bernilai RM62,000 di tebing sungai Bukit Tok Poh, Kuala Perlis ditumpaskan

Oleh: Sholina Osman
24 FEB. 2026

Lagi kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis apabila menumpaskan kegiatan penyeludupan ganja yang menggunakan lokasi tebing sungai sebagai “port” untuk letak barang terlarang ini sebelum dipungut oleh pihak lain.

Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata sebanyak 20 ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis seberat dalam anggaran 20 kilogram yang bernilai RM62,000.00 telah berjaya dirampas.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, pada 10 Februari 2026, pukul lebih kurang 10.00 malam, pasukan operasi dari Cawangan Penguatkuasaan/Marin JKDM Kuala Perlis telah membuat pemeriksaan di kawasan tebing sungai Kampung Bukit Tok Poh, 02000 Kuala Perlis, Perlis.

“Hasil pemeriksaan telah menemukan dua bungkusan guni berwarna putih yang ditinggalkan dalam keadaan yang mencurigakan,” kata Ismail dalam sidang media di Pangkalan Marin Kastam di Kuala Perlis hari ini.

20 KETULAN MAMPAT

Jelas Ismail hasil pemeriksaan ke atas guni tersebut dibuat dan mendapati terdapat 20 ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis yang berat keseluruhannya dianggarkan sebanyak 20 kilogram dan bernilai RM62,000.00.

“Kanabis adalah dadah yang mana telah disenaraikan di bawah Bahagian 1, Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambah beliau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952:
Jika sabit kesalahan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, boleh juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang
daripada 12 sebatan.

Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

ANCAMAN KESELAMATAN NEGARA

Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

Kerjasama daripada orang ramai amat diharapkan agar kita bersama-sama dapat membanteras kegiatan penyeludupan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *