JAWATANKUASA PENGURUSAN DEWAN SUKMA DITUBUHKAN BAGI PANTAU AUDIT DAN PENYELENGGARAAN

KUCHING, 25 FEB – Satu jawatankuasa Pengurusan Dewan Sukma Kuching akan ditubuhkan bagi memastikan pengurusan dan penyelenggaraan dewan berkenaan dilaksanakan secara lebih tersusun dan profesional.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, penubuhan jawatankuasa itu penting bagi memudahkan aspek pemantauan termasuk urusan audit serta tadbir urus yang lebih sistematik.

Menurutnya, perbincangan awal telah diadakan bersama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung cadangan tersebut.

“Penubuhan ini akan memudahkan kita memantau audit serta memastikan dewan diuruskan secara profesional,” katanya.

Beliau menambah, jawatankuasa yang bakal dilantik akan bekerjasama rapat dengan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Datuk Sharifah Hasidah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Siap Projek Dewan Taman Sukma, Petra Jaya, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang turut bersetuju menyumbang pemasangan skrin lampu LED menerusi peruntukan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi menceriakan fasiliti dewan berkenaan.

Projek pembangunan dewan serbaguna itu menelan kos sebanyak RM4.9 juta, bermula pada 21 Ogos 2019 dan siap pada 28 Disember 2023.

Manakala projek naik taraf dewan tersebut dilaksanakan bermula 31 Januari 2025 dan siap sepenuhnya pada 19 Januari 2026.

DEBBIE AMANDA

beritartmsarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *