

KUCHING, 25 FEB – Rainforest Youth Summit 2026 (RAYS) 2026 bakal menyatukan suara dan idea anak muda dalam menangani cabaran perubahan iklim serta memelihara ekosistem dunia.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, RAYS membuktikan komitmen berterusan dalam memperkasa generasi muda dengan pengetahuan, kemahiran dan jaringan strategik ke arah masa depan mampan.
Menurutnya, sepanjang dua tahun lalu RAYS menghimpunkan lebih 1,700 belia, menampilkan lebih 50 penceramah pelbagai disiplin serta melibatkan 80 organisasi dari 37 negara.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran RAYS 2026 di Kuching, hari ini. Edisi kali ini bertemakan “Youth: Many Ways, One Planet” dan terus memperkukuh peranannya sebagai platform kepimpinan iklim belia, sekali gus menyatukan suara ASEAN serta memupuk kolaborasi demi kelestarian alam.
Lebih 700 belia dari 11 negara ASEAN dan beberapa negara lain dijangka menyertai sidang kemuncak yang berlangsung dari 24 hingga 26 Jun 2026, menampilkan 17 penceramah antarabangsa dan tempatan.
RAYS turut memperkenalkan RAYS ASEAN Access Fund bagi membantu belia berusia 18 hingga 30 tahun menampung kos perjalanan dan penginapan, dengan permohonan ditutup pada 30 Mac 2026. Selain itu, RAYS Fellowship Programme dilancarkan bagi meneruskan agenda kepimpinan dan kelestarian selepas sidang kemuncak.
MADELINA
